Covid-19 meningkat, kerajaan umum langkah di Selangor, KL petang ini

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti langkah terperinci dengan menumpukan kepada negeri Selangor dan Kuala Lumpur susulan kedua-dua kawasan berkenaan masih mencatatkan jumlah kes jangkitan positif Covid-19 yang tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian tersebut termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor yang akan diumumkan pada petang ini.

“Kita mudah untuk membuat PKPD di Selangor, kita boleh gunakan daerah dan mukim tetapi di Kuala Lumpur tiada daerah dan sempadan daerah, itu yang kita sedang kaji.

“Petang ini akan saya umumkan tindakan kita di Selangor dan Kuala Lumpur yang kita nampak menyebabkan kes tidak turun kerana separuh daripada kes di Malaysia direkodkan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan akan turut dikaji berdasarkan kepada negeri masing-masing.

Menurut beliau, adalah tidak adil untuk negeri-negeri yang mempunyai kes rendah terus berada di nilai ambang yang sama seperti negeri yang mempunyai kes yang tinggi.

“Misalnya di Perlis yang mencatat dua digit, malah kadang-kadang satu digit sehari tetapi kerana Selangor menyumbang kes yang besar dan masih diletakkan dalam fasa satu, sepatutnya mungkin dibolehkan pindah ke fasa dua dan fasa tiga.

“Sekarang ini kita tengah perincikan, kita sudah ada cadangan dan dibincangkan dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), cuma kita nak perincikan,” katanya.

Artikel Berkaitan: