X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu van, bas terpaksa 'kibarkan bendera putih'

Sabarudin memberikan bantuan barangan keperluan asas kepada pemangu van sekolah dalam Program Bakul Prihatian Johor di pekarangan Sekolah Menengah Kota Masai 2, Pasir Gudang.
A
A

PASIR GUDANG - Lebih 50 pemandu bas dan van sekolah di Taman Kota Masai dan Taman Pasir Putih di sini kini seakan sudah 'mengibarkan bendera putih' selepas perkhidmatan mereka terjejas sejak sekolah ditutup dua bulan lalu akibat pandemik Covid-19.

Mereka seperti sudah mengaku kalah dengan situasi sekarang kerana tidak dapat beroperasi malah dibebani dengan pelbagai masalah.

Seorang pemandu bas sekolah, Ramlah Mohd Zahar, 51, tidak dapat membayar van sekolahnya yang baru dibeli secara ansuran bulanan RM1,300.

"Saya terpaksa mencari kerja sementara lain untuk membayar ansuran van sekolah yang tertangguh," katanya ditemui pemberita selepas menerima bantuan secara pandu lalu dalam Program Bakul Prihatian Johor di pekarangan Sekolah Menengah Kota Masai 2 di sini.

Ramlah yang sudah sedekad membawa van sekolah berkata, pada waktu sekolah akan membawa 30 pelajar mengikut trip dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM60 setiap seorang mengikut jarak perjalanan dari rumah ke sekolah.

Pemandu van sekolah, Hassan Mohamed, 56, kini hanya mengharapkan bantuan anak-anak selepas pendapatannya terputus akibat Covid-19.

Katanya, terdapat ramai rakan-rakan yang bekerja sepertinya turut mengeluh kerana terjejas pendapatan dan pada masa ini terpaksa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan.

"Bagi yang benar-benar susah sementara menunggu sekolah dibuka mereka berniaga kecil-kecilan kerana banyak tanggungan dengan hutang van dan sebagainya," kata bapa kepada lima cahaya mata itu.

Seorang lagi pemandu bas sekolah, Norlaila Nasir, 49, berkata dia terpaksa 'mengorek' wang simpanannya untuk menampung keluarga dan membayar ansuran dua van sekolahnya.

"Suami saya pun tidak dapat bekerja kerana dia bekerja sebagai pemandu bas pesiaran," ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan (DUN) Tiram, Sabarudin Burahan berkata, seramai 50 pemandu bas dan van sekolah menerima bantuan keperluan asas bernilai RM50.

"Kita terima rungutan daripada mereka bahawa sekarang ini sedang susah jadi kita gerakkan bantuan. Pemberian bantuan kita fokus di sini dahulu kerana banyak sekolah di kawasan ini dan akan diluaskan ke kawasan lain," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!