Sektor vape bakal pencetus pertumbuhan ekonomi Malaysia

Malaysia berpotensi muncul sebagai peserta global penting dalam pasaran vape dengan rangka kerja peraturan yang sesuai untuk menarik pelaburan daripada pelabur industri. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Pankaj
Malaysia berpotensi muncul sebagai peserta global penting dalam pasaran vape dengan rangka kerja peraturan yang sesuai untuk menarik pelaburan daripada pelabur industri. - Gambar hiasan Gambar kecil: Pankaj
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi muncul sebagai peserta global penting dalam pasaran vape dengan rangka kerja peraturan yang sesuai untuk menarik pelaburan daripada pelabur industri, kata pakar pelaburan dan ekonomi, Pankaj Kumar.

Ulasan Pankaj itu menyusuli analisis yang dilakukan oleh syarikat e-vape berpangkalan di China, RLX Technology (RLX).

“RLX yang disenaraikan di Bursa Saham New York pada awal tahun ini, mempunyai nilai pasaran semasa AS$14.1 bilion atau RM58.4 bilion. Syarikat ini merupakan jenama e-rokok terbesar di China pada hari ini," ujar Pankaj dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, menurut Insight Consultancy China, RLX telah menguasai bahagian pasaran 62.6 peratus walaupun hanya beroperasi tiga tahun.

"Hasil RLX melonjak 147 peratus pada 2020 untuk mencecah AS$585 juta, iaitu lebih 30 kali operasi perniagaan setahun penuh pertamanya pada 2018. Dalam laporan kewangan S1 2021, hasil RLX meningkat 48.2 peratus secara tahunan untuk mencecah AS$366.1 juta atau RM1.52bil. Margin operasi perniagaan mencapai 46 katanya. Berasaskan kaedah perakaunan bukan GAAP, RLX mencatatkan untung bersih AS$93.2 juta bagi S1 2020,” katanya.

Menurut Pankaj, dengan kadar penembusan yang rendah, pertumbuhan masa depan RLX dijangka luar biasa lebih-lebih lagi dengan potensi besar bagi industri ini di peringkat global.

“Statistik di China menunjukkan bahawa sebagai negara paling ramai penduduk di dunia, dengan 308 juta perokok, kadar penembusan e-rokok hanyalah 1.2 peratus. Hakikat ini memberikan banyak ruang bagi pertumbuhan RLX. Pencapaian luar biasa yang diperlihatkan oleh syarikat ini adalah sesuatu yang boleh dicontohi oleh mana-mana syarikat Malaysia,” katanya.

Menurut Pankaj, sektor vape mendapat perhatiannya berikutan kajian baharu yang dijalankan oleh Grand View Research, Inc. yang meramalkan saiz pasaran vape global bakal mencecah nilai ASD67.31 bilion (RM279.10 bilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan (CAGR) 23.8 peratus dari segi hasil antara tahun 2020 dan 2027.

Artikel Berkaitan:

“Menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia, terdapat lebih daripada 330 pengilang dan pengimport di negara ini, dengan 28 peratus sudah mengeksport produk akhir mereka ke luar negara. Industri vape membuka peluang perniagaan kepada lebih daripada 3,000 peruncit dan disokong tenaga kerja 15,000 rakyat Malaysia.

“Sebagai sebuah industri yang berkembang pesat dan maju, industri ini secara tersendiri boleh memberikan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sama seperti China, kadar penembusan Malaysia adalah kurang daripada 5 peratus. Berasaskan kadar pertumbuhan pantas yang turut dialami oleh pasaran global, industri vape dijangka mencapai pertumbuhan ketara pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Di samping itu, kata Panhaj, terdapat permintaan semakin besar di Asia Tenggara memandangkan lebih banyak negara di rantau ini mula mengawal selia industri seperti di Filipina dan Indonesia.

"Malah, diramalkan bahawa semakin banyak syarikat China dalam industri vape akan mengambil langkah strategik meluaskan operasi kilang mereka di luar China dan menubuhkan hab pengeluaran serantau untuk menambah bilangan pelanggan mereka di rantau ini,” tambahnya.

Untuk tujuan ini, Pankaj percaya Malaysia perlu meningkatkan pengawalseliaan untuk bersiap sedia terhadap pengembangan syarikat-syarikat vape China.

“Langkah pertama ialah menetapkan peraturan untuk mengawal selia industri vape. Pelabur lebih cenderung untuk melabur di negara di mana kerajaan menggariskan peraturan bagi industri kerana ini memberikan kepastian kepada peserta industri dan pelabur," katanya.

Langkah kedua pula katanya, ialah untuk memastikan produk yang dijual mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti.

"Ini akan memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa produk dikawal selia dan selamat untuk digunakan. Ketiga ialah untuk membolehkan persaingan adil dari segi cukai kerana buat masa ini hanya cecair bagi e-rokok tanpa nikotin dikenakan duti 40 sen/ml manakala cecair berasaskan nikotin, yang meliputi 95 peratus daripada pasaran, tidak dikenakan cukai mahupun dikawal selia,” katanya.

Beliau berkata, dengan melaksanakan peraturan dan pengawalseliaan, kerajaan akan mendapat manfaat besar bukan sahaja daripada hasil cukai, tetapi juga akan menarik pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang ingin mengembangkan operasi masing-masing.

“Dengan tahap kawal selia yang lebih baik dan ketat, Malaysia boleh muncul sebagai pasaran menarik untuk industri vape berkembang maju dan mewujudkan suasana perniagaan yang sesuai bagi peserta pasaran utama.

"Akhirnya, Malaysia boleh muncul sebagai destinasi bagi pelaburan asing langsung dalam bidang ini kerana peluang penyelidikan dan pembangunan pelbagai cecair yang berbeza dan sofistikated tiada batasannya,” rumus Pankaj.