UNISEL anjur Persidangan Pendidikan Antarabangsa 2026

FPSS) bakal melakar sejarah apabila menganjurkan IEC 2026) yang dianggap sebagai platform strategik untuk memperkukuh agenda pembangunan karakter manusia dalam sistem pendidikan tinggi dan sekolah di negara ini.
FPSS) bakal melakar sejarah apabila menganjurkan IEC 2026) yang dianggap sebagai platform strategik untuk memperkukuh agenda pembangunan karakter manusia dalam sistem pendidikan tinggi dan sekolah di negara ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS), salah sebuah fakulti terbesar di Universiti Selangor (UNISEL), bakal melakar sejarah apabila menganjurkan Persidangan Pendidikan Antarabangsa 2026 (IEC 2026), yang dianggap sebagai platform strategik untuk memperkukuh agenda pembangunan karakter manusia dalam sistem pendidikan tinggi dan sekolah di negara ini.

Dekan FPSS, Profesor Madya Dr Muhammad Daoh berkata, IEC 2026 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 2 Disember ini akan diadakan di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya dengan kerjasama Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF).

Beliau menegaskan tema IEC 2026 iaitu ‘Empowering Character Education Towards the Development of a Sustainable Generation’ amat bertepatan dengan keadaan dan keperluan semasa dalam menangani cabaran era digital serta perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Dunia hari ini semakin kompleks. Justeru, perkembangan pendidikan karakter diperlukan sebagai benteng utama untuk melahirkan graduan dan pelajar yang bukan sahaja pintar serta mempunyai tahap intelek yang tinggi, malah beradab, berintegriti dan sentiasa menghormati orang tua.

“Kecemerlangan akademik akan menjadi sia-sia sekiranya tidak diimbangi dengan pembentukan sahsiah, jati diri dan nilai kemanusiaan yang utuh dalam kalangan generasi muda. IEC 2026 bertujuan menjadi platform penting dalam melahirkan generasi mampan melalui pembangunan karakter manusia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Muhammad berkata, IEC 2026 turut melakar sejarah penting kerana akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, yang juga anak kepada Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Sebagai rekod, IPKSF merupakan antara entiti akademik dan penyelidikan penting di bawah UNISEL.

“Menerusi kerjasama erat dengan IPKSF, FPSS mahu mengangkat gagasan pemikiran serta nilai tempatan agar selari dengan wacana pendidikan di peringkat global,” katanya.

Paling menarik, katanya, IEC 2026 menerima pelbagai tajaan termasuk daripada dua penaja utama iaitu KL-Kuala Selangor Expressway Berhad (LATAR) dan CIC menerusi LEON Classroom.

Beliau percaya menerusi IEC 2026, Kementerian Pendidikan akan dapat mencadangkan beberapa garis panduan bagi memperkasakan persidangan tersebut, sekali gus melahirkan solusi serta matlamat pendidikan dan pembangunan karakter manusia yang bersesuaian dengan iklim pendidikan di Malaysia.

Dr Muhammad berkata, IEC 2026 akan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pendidik, penggubal dasar serta pelajar pascasiswazah dari dalam dan luar negara untuk membentangkan hasil kajian serta berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, IEC 2026 mempunyai lima subtema utama, termasuk pengajaran dan pembelajaran, hubungan sekolah dengan keluarga dan komuniti, kelestarian serta kewarganegaraan global, selain dasar, kepimpinan dan inovasi.

“Kita berharap resolusi dan dapatan kajian daripada persidangan ini dapat diterjemahkan kepada modul atau panduan praktikal yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya.

Orang ramai, pendidik serta penyelidik yang berminat untuk menyertai persidangan berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web rasmi di iec.unisel.edu.my atau menghubungi urus setia melalui e-mel di edufess_conf@unisel.edu.my.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!