Pengalaman kembara beri inspirasi hasilkan produk kayu

Sangkar kucing ini menjadi produk pertama terbesar yang dihasilkan Wan Irfayuim Azim dalam tempoh PKP ini.
Sangkar kucing ini menjadi produk pertama terbesar yang dihasilkan Wan Irfayuim Azim dalam tempoh PKP ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengembaraan ke lebih 40 negara sebelum Covid-19 memberi inspirasi kepada seorang pemuda untuk menceburi dunia pembuatan kesenian berasaskan kayu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata, idea untuk bertukang dengan kayu mula timbul apabila dia sudah buntu memikirkan jalan terbaik bagi menyara kehidupan selepas berhenti kerja di Jepun sebelum pandemik Covid-19 menyerang Malaysia.

Katanya, walaupun tidak pernah ‘bermain’ dengan mesin kayu dan sebagainya, namun Wan Irfayuim Azim tetap berusaha sebaik mungkin untuk memastikan dia dapat membiasakan diri dengan pekerjaan baharunya itu.

“Dalam keadaan pandemik yang belum tahu kesudahannya, jadi saya fikir lebih baik saya bertukang dan hasilkan sesuatu yang boleh dijual. Saya banyak berhijrah ke pelbagai negara dan saya sudah tengok pelbagai hiasan rumah dan aksesori yang berasaskan kayu yang mereka jual.

“Dengan pengalaman yang ada itulah saya guna dan saya harap apa yang saya hasilkan akan memberi satu kelainan kepada pembeli terutamanya mereka yang cintakan barangan yang berasaskan kayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, bingkai gambar adalah hiasan pertama dihasilkannya dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakan-rakan dan keluarga terdekat.

Beliau berkata, dengan keyakinan yang ada, dia memberanikan diri membeli kelengkapan pertukangan kayu bernilai puluhan ribu ringgit untuk kegunaan jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Ruangan di depan rumahnya di Kampung Jambu di Kota Bharu menjadi bengkel Wan Irfayuim Azim bertukang.
Ruangan di depan rumahnya di Kampung Jambu di Kota Bharu menjadi bengkel Wan Irfayuim Azim bertukang.

“Buat masa sekarang ini saya hanya boleh hasilkan barang-barang hiasan dan aksesori yang kecil saja memandangkan masih belum cukup kelengkapan sepenuhnya. Cuma minggu lepas saya buat sangkar kucing berasakan kayu pine. Itu pun kawan saya yang minta tolong buatkan.

“Risau juga kalau-kalau hasil kerja saya ini tidak memuaskan hati memandangkan kali pertama saya membuatnya sendiri. Tapi dengan bantuan dan nasihat rakan-rakan, termasuk menciduk ilmu-ilmu dari laman-laman sosial dan sebagainya, akhirnya siap juga sangkar kucing tersebut," katanya.

Untuk masa akan datang, Wan Irfayuim Azim berkata, dia akan cuba membuat sesuatu yang lebih menarik antaranya gazebo.

"Saya merancang untuk membuat gazebo yang berasaskan kayu dengan bantuan dua lagi rakan yang lain. Rakan saya itu memang ‘senior’ dalam bidang ini, insya-ALLAH dia boleh bantu nanti,” katanya.

Bercerita mengenai semangat yang tidak pudar walaupun kehilangan pekerjaan selepas pandemik Covid-19, dia berkata, antara rahsianya ialah membaca buku-buku yang memberi aura positif kepada dirinya, sekali gus ia membantu memberi keyakinan untuk dia meneruskan kehidupan.

Menurut Graduan Diploma Teknologi Makanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, walaupun tangan berdarah, tertusuk serpihan kayu dan sebagainya, dia kini bagaikan membujur lalu melintang patah menghadapi segala cabaran tersebut dengan baik.

Menjadikan rumah sebagai bengkel pertukangannya, pemuda dari Kampung Jambu itu memberitahu, walaupun pendapatan yang diperoleh tidaklah seberapa, namun cukup untuk menyara isteri dan emaknya.