Tamparan hebat kerajaan komunis China

Kampung Huanxi di wilayah Jiangsu, timur China yang dahulunya miskin kini dipenuhi dengan kilang-kilang dan projek hartanah - Foto AFP
Kampung Huanxi di wilayah Jiangsu, timur China yang dahulunya miskin kini dipenuhi dengan kilang-kilang dan projek hartanah - Foto AFP
A
A
A

PARTI Komunis China yang meraikan penubuhannya yang ke-100 tahun pada 1 Julai, terpalit dengan isu nepotisme dan naungan politik yang berlaku sejak beberapa tahun di negara berkenaan.

Isu itu bermula apabila kepimpinan seorang ketua kampung Huaxi di timur China merangkap salah seorang pemimpin parti komunis berjaya melakukan perubahan taraf hidup para petani di kampung tersebut sehingga ada yang menjadi jutawan.

Kejayaan yang berlaku di Huaxi itu menjadi satu propaganda komunis tetapi kemudian dicemari dengan nepotisme dan naungan politik yang mana pakar-pakar menyatakan ia mungkin menjadi pengajaran kepada pelaksanaan pendekatan 'ciri-ciri kapitalisme ala China'.

Huaxi pada mulanya miskin pada tahun 1960an tetapi bertukar menjadi kaya rentetan aktiviti-aktiviti perniagaan ketika ditadbir oleh Wu Renbao yang menjadi ketua kampungnya namun ia kini dibebani dengan hutang besar.

Renbao menguruskan kampung tersebut yang terletak berhampiran dengan bandar raya Shanghai dengan menubuhkan Kumpulan Huaxi dan dilaporkan mempunyai lebih 100 buah syarikat perniagaan.

Kampung tersebut mempunyai kilang-kilang tekstil dan bisnes harta tanah manakala penduduknya pula mendapat balik keuntungan melalui pembayaran dividen sehingga ia digelar sebagai 'kampung paling kaya' di China.

Pada tahun 2004, secara purata pendapatan tahunan penduduk Huaxi dilaporkan mencecah lebih AS$19,000 (RM78,878) iaitu empat puluh kali ganda lebih banyak daripada kebanyakan petani di negara tersebut.

Ketika Renbao yang juga pernah menjadi ketua komunis di kampung tersebut meninggal dunia pada Mac 2013 semasa berumur 84 tahun selepas menghidap kanser, sebanyak 20 buah kenderaan dan sebuah helikopter mengiringi perarakan kerandanya.

Artikel Berkaitan:

Kisah kejayaan Huaxi itu merupakan satu model propoganda China kerana ia menunjukkan kampung tersebut boleh menjadi kaya di bawah dasar pembaharuan ekonomi yang dilancarkan empat dekad lalu.

Pada tahun 2013, AFP yang memetik laporan media negara itu yang melaporkan seramai 2,000 penduduk berdaftar di kampung tersebut memandu kereta-kereta mewah dan dibeli dengan menggunakan hasil keuntungan daripada syarikat-syarikat yang dimiliki secara kolektif.

Menurut portal berita Business Insider pada tahun 2013, secara kasarnya satu pertiga pendapatan penduduk tersebut datangnya daripada industri besi dan keluli manakala Huaxi mengimport bahan-bahan mentah dari India dan Brazil sebelum mengeksport produk tersebut ke negara-negara luar.

Golongan wanita di kampung itu turut bekerja di sektor tekstil dan kampung tersebut mempunyai 80 kilang tetapi berpuluh-puluh ribu penduduknya datang dari luar Huaxi dan bekerja di kilang tekstil, besi serta industri pelancongan.

Adalah dipercayai penduduk asal di kampung tersebut berhak untuk mendapatkan kemudahan luar biasa seperti penjagaan kesihatan secara percuma, pendidikan, rumah mewah, kereta dan sekurang-kurangnya mempunyai wang sebanyak AS$250,000 (RM1.03 juta) di dalam akaun bank mereka.

Jumlah sebenar penduduk di kampung itu tidak pernah didedahkan kepada umum.

Sebuah hotel lima bintang (kiri) setinggi 328 meter yang bernilai RM1.9 bilion dibina di kampung Huaxi, wilayah Jiangsu. - Foto AFP
Sebuah hotel lima bintang (kiri) setinggi 328 meter yang bernilai RM1.9 bilion dibina di kampung Huaxi, wilayah Jiangsu. - Foto AFP

Kampung itu juga mempunyai hotel lima bintang setinggi 328 meter bernilai AS$470 juta (RM1.9 bilion), dilengkapi dengan akuarium gergasi dan patung emas lembu jantan yang dibina untuk meraikan ulang tahun parti komunis China yang ke-100 tahun.

Bagaimanapun, satu video yang menjadi tular di media sosial pada Februari lalu menunjukkan sejumlah penduduk di kampung berkenaan beratur di mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang mereka ketika era sukar melanda Huaxi.

Media tempatan melaporkan dividen yang dinikmati oleh penduduk asal di kampung tersebut berkurangan dari 30 peratus kepada hanya 0.5 peratus dengan hutang Huaxi meningkat kepada AS$6 bilion (RM24.91 bilion).

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan kesahihan video tular tersebut tetapi menafikan khabar angin bahawa kampung tersebut telah jatuh bankrap.

Namun, jawatan penting dalam syarikat perniagaan Huaxi dan hierarki politik di kampung berkenaan dipegang oleh kaum keluarga Renbao yang berjaya mengubah kampung miskin itu menjadi kaya.

Seramai 18 saudara Renbao berada dalam jawatankuasa parti komunis di kampung tersebut manakala anak sulung lelakinya dan menantu lelakinya masing-masing memegang jawatan Naib Presiden dalam Kumpulan Huaxi.

Menurut AFP, anak lelaki Renbao, Wu Xie'en mengambil alih jawatan bapanya itu sebagai ketua kampung dan pengerusi Kumpulan Huaxi.

Seorang penganalisis di Institut Kajian China Mercator di Jerman, Valarie Tan berkata, seperti dilaporkan AFP bahawa kisah di Huaxi merupakan satu cerita buruk tentang pemerintahan kuku besi kerana beliau mendakwa keluarga kepada bekas ketua kampung itu mengetuai pengurusan dana yang silap, membuat keputusan pelaburan yang teruk dan membuat pinjaman keterlaluan.

Dalam pada itu, seorang penganalisis kanan di firma SinoInsider beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), Larry Ong pula menjelaskan bahawa Kumpulan Huaxi itu dilihat sebagai satu perniagaan sebuah keluarga.

Menurutnya, Huaxi tidak lebih daripada kampung 'Potemkin' era baharu bagi membolehkan Parti Komunis China terus melaksanakan ideologi yang gagal.

Kampung Potemkin merupakan istilah popular pada era Kesatuan Soviet bagi memberikan gambaran palsu tentang kisah sebenar penduduknya dam digunakan untuk tujuan propaganda. - Agensi