Abah dan politik populis Malaysia

Muhyiddin Yassin. Gambar kecil: Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid
Muhyiddin Yassin. Gambar kecil: Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid
A
A
A

SAYA merasa begitu terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara terutama berkaitan politik dan kepimpinan Malaysia. Memang benar bahawa negara berada dalam zaman yang mencabar dan sukar.

Berdepan dengan pandemik Covid-19 sebenarnya menguji sejauh mana ketahanan Malaysia dari segi ekonomi dan jati diri. Kembang kecut, dan turun naik ekonomi mengesankan kesejahteraan dan kemakmuran diteruskan.

Saat genting inilah peranan korporat yang kaya dan telah mengutip keuntungan berdekad lama untuk turun padang dan bersikap dermawan.

Para pentadbir di sektor awam telah menunjukkan kesediaan pemotongan gaji berkadar mengikut gred lantikan.

Sementara jati diri ialah kesetiaan mendokong citra negara dan bersedia menggembleng tenaga bersama kerajaan dan barisan hadapan untuk menang melawan Covid-19 tanpa mengira parti dan pegangan politik.

Apa yang perlu dilakukan segera ialah hentikan politik tidak sihat yang masih menggesa perubahan kerajaan, mengkritik secara 'destructive' tampuk kepimpinan atas alasan kononnya telah gagal mengurus negara, dan menggunakan modal 'populist survey' untuk melihat kebarangkalian pemimpin baharu naik.

Ini semua tidak membantu rakyat malahan menimbulkan rasa resah dengan idea kerajaan tidak stabil.

Adakah jika Pakatan Harapan (PH) yang memerintah mereka akan melakukan strategi yang berbeza? Lihat sahaja dua tahun yang lalu, PH di awal virus korona melanda Wuhan, masih membenarkan pelancong dari Tanah Besar Cina masuk Malaysia dan lewat untuk bertindak.

Pandangan Tun Mahathir (Tun M) yang dipetik di beberapa akhbar tempatan ketika mentadbir sebagai Perdana Menteri buat kali kedua juga mengakui barisan kepimpinan PH kurang keupayaan memahami proses dan prosedur birokrasi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Malahan mahu menyediakan kertas kabinet bagi usulan juga masih bertatih. Kelakuan PH mentadbir dan desakan untuk Tun M menyerah kuasa kepada Datuk Seri Anwar, akhirnya PH tumbang.

Harus diingatkan bahawa ahli politik, mereka ini datang dan pergi, mereka tidak kekal lama.

Faktor yang memastikan Malaysia ini terus kukuh ialah ratusan ribu pentadbir awam di peringkat pusat dan negeri yang memastikan negara terus diurus dengan baik. Mereka ini adalah tonggak negara.

Kemelut di badan Eksekutif tidak menjejaskan urus tadbir badan Legislatif dan Kehakiman. Malahan perubahan kerajaan dari BN ke PH lalu PN dalam tempoh singkat juga tidak berakhir dengan kegagalan negara untuk berfungsi. Hidup ini diteruskan.

Soal siapa patut ganti Abah dengan merujuk pada survei populist yang boleh dipersoal kaedah persampelan, population of interest, margin of error, kesahan dan kebolehpercayaan instrumen survei - semua ini perlu diperjelas supaya rakyat tidak salah faham dengan dapatan hasil tinjauan yang terbatas dari segi liputan dan maklum balas.

Pemilihan siapa pemimpin sangat dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pertama, tiga peringkat pengaruh iaitu pusat, negeri dan daerah yang diwakili oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) (di dalam kawasan Parlimen ada beberapa DUN dan di dalam DUN ada beberapa daerah) dengan pengundi bandar dan luar bandar yang berbeza pandangan, ukuran dan penilaian.

Kedua, isu lokal yang dihadapi pengundi kawasan seperti jalan tidak berturap, bekalan air tergendala, cukai tanah, gelandangan, industri tempatan dan bantuan masyarakat setempat.

Ketiga, personaliti pemimpin dari segi integriti dan akauntabiliti yang dizahirkan berlandaskan 'track record' perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Keadaan Abah di Pagoh juga mungkin dipersoal kerana jentera UMNO, pengundi kawasan yang rata-rata ahli UMNO akan berfikir dua kali dengan perubahan parti baharu ini.

Walaupun secara persona, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang popular dipanggil Abah mempunyai rekod perkhidmatan yang kukuh dengan pengalaman memegang portfolio menteri di beberapa kementerian dan pernah bertugas sebagai Menteri Besar Johor.

Ketiga-tiga perkara ini harus dikupas dengan menyeluruh dan teliti. Politik Malaysia yang sarat dengan kepelbagaian yang rencam terutama aspek agama, etnisiti dan faction juga harus dinilai dan dikupas dengan mendalam.

Bukan secara simplistic meletakkan nama beberapa calon untuk dipilih responden dalam survei atas talian bagi menentukan siapa bakal memimpin Malaysia.

Politik populis ini membuatkan rakyat merana dengan desakan dan kritikan angkuh terhadap kerajaan yang bertugas bertungkus lumus bersama barisan hadapan memastikan jumlah jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan.

Tambahan lagi, dinasti politik atau politik keluarga dan sifat hierarki parti politik adalah ciri menarik dalam memerhatikan politik Malaysia. Politik keluarga telah bercambah dan berakar.

Tun Mahathir-Mukhriz, Lim Kit Siang-Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan keluarga, mendiang Karpal Singh dan anak-anak, arwah tok guru Nik Aziz dan anak-anak, PakLah-menantu Khairi Jamaludin, arwah Tun Razak-Najib Razak, Chua Soi Lek-Chua Tee Yong dan lain-lain.

Kalau ikut pepatah Melayu, 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' fenomena ini dilihat baik sehingga timbul soalan siapa pengganti otai-otai ini? Rakyat masih melihat kepimpinan negara masih berlegar kepada ahli-ahli keluarga otai-otai ini.

Persoalannya apakah negara akan makmur jika Nurul Izzah menggantikan Anwar Ibrahim? Adakah Lim Guan Eng dan DAP akan membawa wadah berbeza dari Lim Kit Siang ? Harus diingatkan perjuangan politik keluarga adalah sarat dengan kepentingan terpusat mereka.

Perjuangan keluarga Anwar sepanjang reformasi ialah pembebasan Anwar Ibrahim dan mengusahakan cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Pada hemah saya, rakyat Malaysia jauh lebih bijak dari hasil dapatan survei populist yang mahukan politik keluarga terus mencengkam negara.

Buat masa ini politik kepembangkangan harus bersedia mengenepikan duka lara mereka yang memerintah Malaysia dalam tempoh yang singkat.

Berhenti menuding jari mencari kesalahan orang lain kerana jari telunjuk yang satu tidak membetulkan empat jari yang masih menuding kelemahan diri sendiri.

Inilah masanya barisan kepembangkangan tampil bekerjasama dengan kerajaan demi keselamatan rakyat.

Kukuhkan jati diri sebagai warga Malaysia memberi bantuan kepada komuniti kawasan di DUN dan Parlimen masing-masing dan selaraskan usaha bersama kerajaan pusat untuk memperkemas program vaksinasi nasional agar komuniti berkelompok secara selesa dapat diwujudkan, PKP diangkat, ekonomi boleh beroperasi semula, dan PRU15 boleh dijalankan.

Masa ini rakyat akan memilih dan pengundi sudah 'alah bisa tegal biasa' dengan perubahan kerajaan. Undi tetap undi, cuma buat masa ini negara dan rakyat harus berhati-hati untuk tidak terperangkap dalam permainan politik populist ini.

#LindungDiriLindungSemua.

*Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia