Jual raja buah secara dalam talian, elak guna orang tengah

Musa menunjukkan antara buah durian yang terbaik di dusunnya ketika tinjauan Bernama di sekitar Wang Gunung, Kangar baru-baru ini. - Foto Bernama
Musa menunjukkan antara buah durian yang terbaik di dusunnya ketika tinjauan Bernama di sekitar Wang Gunung, Kangar baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Sejak penularan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lepas, lebih ramai peniaga yang cenderung menggunakan platform media sosial untuk memasarkan produk mereka termasuk peniaga durian.

Seorang pekebun durian di Wang Gunung dekat Bintong, Musa Nayan, 66, berkata, beliau memilih untuk memasarkan durian secara dalam talian kerana lebih mudah berurusan sendiri dengan pelanggan tanpa bergantung kepada pemborong.

“Saya rasa lebih puas dapat pasarkan sendiri hasil titik peluh kerana ia lebih menguntungkan dan dapat dijual dengan harga lebih murah kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Setiap hari ada sahaja yang membuat pembelian secara dalam talian, anak saya yang uruskan menerusi telefon bimbitnya,” kata pesara kerajaan itu yang turut dikenali dengan panggilan Pak Andak.

Bapa kepada lima anak itu berkata, pada mulanya beliau hanya menanam pokok durian untuk anak cucunya, namun apabila harga durian mula meningkat beliau kini mengusahakan tanaman itu secara serius.

Musa yang mempunyai kebun seluas 1.618 hektar berkata, terdapat tiga jenis durian di kebunnya iaitu durian kampung, jenis IOI (D168) dan juga musang king.

Bagi Nordin Salleh, 64, turut menggunakan medium yang sama untuk menjual durian selain menjual secara terus kepada pelanggan di hadapan kebunnya untuk mengelak berlaku lambakan raja buah itu.

“Saya hanya jual durian bila ada lebihan sahaja dan utamakan untuk keluarga terlebih dahulu dan kebanyakan adalah durian jenis kampung.

Artikel Berkaitan:

“Saya tengah usaha untuk dapat kebenaran menjual hasil durian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membuka gerai jualan durian,” katanya yang mempunyai kebun seluas 0.809 hektar.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, durian Perlis mempunyai rasa berbeza daripada durian tempat lain kerana rasanya lebih manis dan mempunyai aroma yang lebih wangi mungkin disebabkan faktor tanah dan cuaca di sini. - Bernama