Minyak masak untuk semua

No Image Caption
A
A
A

Malaysia adalah antara pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar di dunia. Harga CPO ditentukan oleh pasaran dunia. Lebih tepat lagi, pasaran bebas. Penawaran/bekalan dan permintaan mempengaruhi harga.

Graf di atas menunjukkan trend turun naik harga CPO dari tahun 2006 hingga 2021. Semacam ada pusingan setiap sepuluh tahun, harga merudum tahun 2008 berulang pada tahun 2018.

Harga meningkat tahun 2010, berulang pada tahun 2020 di mana Mei 2021, mencatatkan harga tertinggi dalam tempoh 15 tahun iaitu RM4,774 per tan metrik.

Justeru, harga minyak masak tidak bersubsidi naik melambung di pasaran tempatan sehingga mencecah RM35 untuk botol 5 kilogram (kg).

Sejumlah RM4,774 per tan metrik bersamaan RM4.77/kg atau RM23.87 untuk 5kg. Itu belum termasuk kos pemprosesan dan pengilangan seperti dihilangkan baunya, dijernihkan kekeruhannya, dinyahkan kolesterol dan diperkaya dengan Vitamin E menjadi minyak olein sesuai untuk memasak.

Proses pengilangan dan pembungkusan/pembotolan serta pengedaran termasuklah pemasaran serta margin keuntungan adalah kos yang bukan sedikit.

Dengan kiraan matematik mudah, kita boleh andaikan kos RM1.50 untuk setiap kg bagi keseluruhan proses tersebut. Harga CPO dicampur kos pemprosesan, pembotolan dan pengedaran akan menjadi RM31.27 untuk botol 5kg.

Jadi tidak mustahil harga minyak botol 5kg telah melebihi paras RM32.00 pada awal tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Minyak campuran

No Image Caption

Terdapat dua jenis minyak masak berasaskan sawit dalam kemasan botol di pasaran. Satu adalah minyak masak sawit tulen dan satu lagi minyak masak campuran.

Minyak masak campuran adalah minyak sawit dicampurkan dengan minyak lain. Biasanya 98 peratus adalah minyak sawit dan 2 peratus adalah minyak kacang tanah, bijan dan/atau soya.

Tidak terdapat sebab utama kenapa perlu dicampur melainkan mungkin untuk menghasilkan aroma atau warna tertentu di samping strategi pemasaran dan harga.

Minyak campuran selalunya dijual pada harga yang lebih tinggi dari minyak masak tulen. Walaupun demikian, pengguna Malaysia masih beruntung kerana wujudnya

minyak masak bersubsidi dengan kemasan polibeg 1kg. Tetapi masih ramai pengguna begitu skeptikal terhadap minyak bersubsidi ini.

Ada yang kata ia adalah minyak masak kitar semula. Tak kurang yang kata kualitinya lebih rendah daripada yang dalam botol. Apakah itu fakta atau mitos pengguna yang tidak bermaklumat?

Dalam laman rasmi Facebook KPDNHEP, terdapat satu video yang baru dimuat naik berkenaan lawatan ke sebuah kilang integrasi minyak masak.

Video itu jelas menunjukkan minyak masak yang sama dimasukkan ke botol 3kg dan 5kg mahupun yang dibungkus dalam polibeg 1kg. Jenamanya pun sama!

Pada sidang akhbar dalam video tersebut, Ketua Setiausaha KPDNHEP mengesahkan bahawa kualiti minyak masak bersubsidi dalam polibeg sama dengan minyak masak tulen dalam botol.

Berapa kali boleh digunakan untuk gorengan bergantung kepada bahan rempah ratus yang digunakan. Tapi mengapa jenama minyak masak bersubsidi banyak sangat? Ada yang menggunakan nama-nama seperti ‘tak berjenama’ yang tidak meyakinkan.

Minyak bersubsidi ini dilaksanakan secara serampang dua mata; pertama untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40 dan penjaja serta peniaga kecil.

Kedua, untuk mewujudkan usahawan tempatan dalam pembungkusan minyak masak polibeg. Pelbagai jenama adalah untuk pengecaman terutama dalam pemantauan prestasi usahawan pembungkusan tersebut.

Jika berlaku penyelewengan contohnya penyeludupan minyak bersubsidi ke negara asing, maka mudah bagi KPDNHEP untuk mengecam pelaku atau yang bersubahat dengan jenayah tersebut.

Subsidi

Pemeriksaan minyak masak sedang dilakukan.
Pemeriksaan minyak masak sedang dilakukan.

Kerajaan memperuntukkan 60,000 tan metrik atau 60 juta kg sebulan bagi minyak masak bersubsidi. Satu peruntukan yang besar! 1.8kg untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan termasuk anak-anak kecil.

Harganya tetap RM2.50 untuk 1kg biarpun harga CPO naik turun di pasaran. Tiada halangan untuk golongan selain B40 untuk membelinya, apatah lagi ketika harga CPO tinggi seperti sekarang ini.

Justeru, had pembelian 3kg (atau 3 paket) untuk setiap pembelian dalam satu resit adalah langkah sementara bagi memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia berpeluang membeli dan berjimat dengannya.

Industri CPO menghasilkan sebanyak RM33 bilion hingga RM43 bilion setahun atau 5 peratus hingga 7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lapan tahun, walaupun ketika harga CPO merudum seperti di tahun 2018.

Difahamkan, lebih daripada 95 peratus hasil pengeluaran CPO negara adalah untuk tujuan eksport manakala kurang dari 5 peratus ialah untuk penggunaan domestik. Lebih tinggi harga CPO lebih tinggi pendapatan negara dan peladang.

Harga minyak masak tidak bersubsidi seharusnya bukan lagi satu isu. Harga CPO masa kini sekitar RM3,675 per tan metrik dan jika ianya stabil sekitar harga tersebut seharusnya harga minyak masak tidak bersubsidi sekitar RM25.70 bagi botol 5kg menggunakan formula di atas.

Pakej PEMULIH yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu telah menyentuh berkenaan harga kawalan berasaskan nilai ambang CPO di mana minyak masak botol 5kg akan dikawal tidak melebihi RM30.00 sebotol.

Sekurang-kurangnya ia akan jadi mekanisme harga minyak masak bersubsidi di masa hadapan jika harga CPO kembali melonjak melebihi paras RM4,000 per tan metrik.

Kerajaan juga akan menambah peruntukan RM1 bilion kepada minyak masak bersubsidi bagi menjamin rakyat dapat membelinya pada harga RM2.50.

Mekanisme berkenaan merupakan strategi menang-menang merangkumi peladang, pengilang, pemborong, peruncit, pengguna dan kerajaan yang memberi kelegaan kepada lebih 32 juta pengguna dan 700 ribu peladang kelapa sawit.