Mampukah Malaysia hasilkan vaksin sendiri?

 Bagi merealisasikan Malaysia sebagai antara negara pembuat vaksin, perancangan dan strategi yang teliti perlu dilaksanakan pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D). - Gambar hiasan.
Bagi merealisasikan Malaysia sebagai antara negara pembuat vaksin, perancangan dan strategi yang teliti perlu dilaksanakan pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D). - Gambar hiasan.
A
A
A
USAHA Malaysia menghasilkan sendiri vaksin Covid-19, menjadi jalan terbaik yang sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara kuasa besar bagi mendapatkan bekalan pelalian tersebut pada masa hadapan.

Langkah segera ke arah itu perlu dilakukan, susulan wujud pelbagai isu termasuk masalah kekurangan stok selain negara penerima vaksin, terpaksa membayar kos yang tinggi bagi mendapatkan keperluan bekalan tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu laporan pada 19 Jun lepas dipetik berkata, sebilangan besar negara miskin termasuk seluruh benua India, sub-Sahara Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat, terpaksa menangguhkan program inokulasi vaksin Covid-19 kerana kekurangan dos.

Keadaan ini menyebabkan individu yang sudah menerima satu dos suntikan terpaksa menunggu lebih lama sebelum mereka mendapat suntikan kedua.

Laporan WHO itu turut menyebut, situasi berkenaan berlaku apabila negara yang memiliki sumber kewangan dan yang menghasilkan produk (vaksin) memiliki akses kepada vaksin.

Turut menyedihkan apabila tindakan negara kaya seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) membolot bekalan vaksin Covid-19, menyebabkan negara lain termasuk Malaysia lambat menerima bekalan itu sehingga menjejaskan usaha mempercepatkan kadar vaksinasi kepada penduduk.

Luahan itu disuarakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang turut menegaskan, Malaysia mampu membuka pusat pemberian vaksin (PPV) yang besar seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun bekalan vaksin perlu dipastikan mencukupi.

Namun, kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini bahawa Malaysia sedang membangunkan vaksin pertama bagi melawan pandemik Covid-19 dengan kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), memberi harapan kelangsungan bekalan vaksin untuk rakyat.

Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata kemunculan koronavirus SarsCoV-2 penyebab Covid-19, sepatutnya membangkitkan kesedaran kepada Malaysia supaya satu tindakan proaktif dilakukan dalam mempergiatkan usaha penghasilan vaksin di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ikhtiar ini bukan sahaja untuk membendung Covid-19, sebaliknya boleh meningkatkan usaha memerangi penularan variasi virus baharu lain yang berkemungkinan akan wujud pada masa akan datang.

“Virus Covid-19 ini merupakan amaran untuk kita mempersiapkan diri dan memperkukuhkan benteng kesihatan negara dengan membangunkan vaksin kita sendiri.

“Covid-19 ini muncul selepas 17 tahun wabak SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk), malahan wabak MERS-CoV (Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah) pada 2012 juga disebabkan oleh kumpulan koronavirus. Ini menunjukkan kebarangkalian untuk koronavirus muncul kembali sebagai pandemik baharu (masa akan datang) adalah tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekiranya Malaysia mampu menghasilkan vaksin Covid-19, ia sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kemelut berkaitan vaksin termasuklah isu kekurangan bekalan disebabkan kebergantungan tinggi dari negara pengeluar.

Katanya, masalah seperti itu wujud apabila negara pengeluar perlu memenuhi keperluan populasi tempatan dan pada masa sama turut berperanan membekalkan atau menjual vaksin kepada negara lain pada skala sangat besar, yang ini akan memberi tekanan kepada kedua-dua belah pihak.

“Seperti yang kita lihat pada situasi Covid-19 sekarang, ia merupakan krisis kesihatan satu dunia, tidak kira negara maju atau negara miskin. Oleh sebab itu, sebagai negara yang sedang membangun, kita boleh mengurangkan kebergantungan terhadap vaksin luar dengan membangunkan industri pembuatan vaksin tempatan bagi membolehkan masyarakat kita mempunyai akses secara langsung terhadap vaksin.

“Dengan wujudnya industri pembuatan vaksin, kita boleh menjamin kesejahteraan generasi negara. Ini kerana, apabila kita mempunyai pengalaman dan templat bagi proses penghasilan vaksin, ia secara tidak langsung boleh disesuaikan dengan apa-apa jenis patogen (kuman).

"Selain itu, usaha ini juga akan dapat memperkasakan sumber tenaga manusia atau kepakaran teknikal yang kita miliki dari semasa ke semasa,’’ katanya yang kini sedang membangunkan platform biosensor untuk penyakit Covid-19 melalui geran UKM dan geran antarabangsa dari International Centre for Genetic Engineering and Biotechnology (ICGEB).

Selain itu, beliau juga mengetuai dan sedang menjalankan penyelidikan melibatkan pengenalpastian sel B memori yang menghasilkan antibodi spesifik terhadap SARS-CoV-2 melalui sampel darah individu yang sudah sembuh daripada Covid-19.

Justeru, bagi merealisasikan Malaysia sebagai antara negara pembuat vaksin, perancangan dan strategi yang teliti perlu dilaksanakan pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ini penting, bagi memastikan kelangsungan pembangunan vaksin di peringkat pembuatan berskala besar terutama dengan kerjasama institusi penyelidikan, kumpulan pakar perubatan dan industri farmaseutikal negara bagi mempercepatkan serta memantapkan lagi proses ujian klinikal terhadap vaksin berkenaan.

Malaysia perlu menjadikan India sebagai contoh bagi penghasilan vaksin sendiri dengan menggunakan sumber kepakaran tempatan.

“Walaupun India negara miskin tetapi mereka menggunakan kepakaran yang ada untuk menghasilkan vaksin terutamanya bagi mengurangkan kos pembelian vaksin dari negara lain yang mahal dan jumlah rakyatnya yang ramai,” katanya.

Mengikut rekod, India menghasilkan 60 peratus daripada keseluruhan vaksin global dan menempatkan Serum Institute of India (SII), pengeluar vaksin terbesar dunia. - Bernama