X

Kindly register in order to view this article
!

Suntikan fiskal RM83 bilion biayai lapan pakej rangsangan ekonomi

Tengku Zafrul Tengku pada sidang media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kementerian Kewangan, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak RM83 bilion suntikan fiskal diperuntukkan bagi membiayai keseluruhan lapan pakej rangsangan ekonomi yang diwujudkan sejak tahun lalu.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu turut merangkumi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Beliau berkata, tahun lalu sebanyak RM38 bilion suntikan fiskal telah diberikan manakala RM45 bilion lagi diperuntukkan tahun ini.

"Berdasarkan keseluruhan peruntukan RM45 bilion tahun ini, sebanyak RM18 bilion telah dibelanjakan kerajaan ketika ini," katanya pada sidang akhbar mengenai Pemulih secara maya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, antara empat pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan tahun ini membabitkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi tambahan (Pemerkasa+) dan terbaru Pemulih.

Jelasnya, empat pakej yang dilaksanakan tahun lalu pula membabitkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu, kerajaan dijangka menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.0 dan 7.5 peratus bagi 2021 yang dibuat sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana sasaran pertumbuhan KDNK tersebut dijangka tidak dapat dicapai berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh pada masa ini.

"Penilaian unjuran masih dilakukan dan kerajaan akan mengumumkan angka rasmi baharu sekitar pertengahan bulan Ogos.

"Ia selaras dengan keluaran data pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk suku kedua tahun 2021," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!