Enam lelaki tangkap ikan guna bahan letupan ditahan

Enam lelaki ditahan bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan di perairan Kudat ditahan PPM Kudat.
Enam lelaki ditahan bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan di perairan Kudat ditahan PPM Kudat.
A
A
A

KUDAT - Tindakan enam lelaki dipercayai menangkap ikan menggunakan bahan letupan membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat di perairan Big Bonanza Reef, 45 kilometer di barat laut Simpang Mengayau, pada Isnin.

PPM turut merampas peralatan dipercayai digunakan membuat bom ikan bersama pelbagai jenis ikan seberat 10 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM87,415.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bot nelayan itu dikesan pada jam 1.30 pagi itu ketika bot ronda PPM Kudat menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

"Nelayan di dalam bot itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri ke kawasan cetek selepas menyedari kehadiran anggota polis itu.

"Kita menahan seorang juragan serta lima lelaki berusia 19 hingga 53 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot menemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan termasuk sembilan botol minuman yang dipercayai mengandungi Ammonium Nitrat dan 19 unit fius peledak.

Tambah beliau, kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel Berkaitan: