Ceroboh hutan simpan tanam musang king

Kakitangan PHD Raub bertindak menebang pokok durian Musang King pada Ops Musnah seluas 12 hektar di Hutan Simpan Kelau.
Kakitangan PHD Raub bertindak menebang pokok durian Musang King pada Ops Musnah seluas 12 hektar di Hutan Simpan Kelau.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 350 pokok durian klon musang king yang ditanam secara haram di atas tanah seluas 12 hektar di Kompartmen 48, Hutan Simpan Kelau, Raub dimusnahkan.

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, aktiviti penanaman itu dikesan ketika menjalankan operasi pemusnahan ladang haram di hutan terbabit bermula pada Isnin.

Menurutnya, selain durian, pelbagai pokok buah-buahan seperti pisang, nangka, cempedak dan petai yang ditanam secara berperingkat dipercayai diusahakan oleh individu tempatan turut dimusnahkan.

"Dalam operasi itu kita mendapati lebih 4,000 pokok pisang pelbagai jenis yang telah mengeluarkan hasil dan kira-kira 350 durian musang king berusia antara enam bulan hingga tiga tahun ditanam di hutan simpan tersebut.

"Selain pokok, kita juga bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara dibina, dipercayai tempat tinggal individu dan pekerja ladang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Operasi itu disertai 30 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta di bawah pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Beliau memaklumkan tiada tangkapan dibuat di kawasan terbabit kerana mereka dipercayai sudah meninggalkan lokasi itu sebelum serbuan dilakukan.

Jelasnya, bagaimanapun operasi pemusnahan ladang haram yang bermula sejak Isnin itu dijangka mengambil masa empat hingga lima hari.

Artikel Berkaitan:

Pokok pisang turut dimusnahkan di Hutan Simpan Kelau.
Pokok pisang turut dimusnahkan di Hutan Simpan Kelau.

"Usaha memusnahkan tanaman ini mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian musang king bersaiz kecil," katanya.

Shahril menambah, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di dalam Hutan Simpan Kelau.

Tegasnya, perbuatan mereka seolah degil dan cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak JPNP.

"Kita tidak akan berkompromi dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Jadi kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat," katanya.