Brisbane pula dikenakan 'lockdown' disebabkan Covid-19

Bandar raya Brisbane yang pernah menjalani 'lockdown' pada Januari lalu. - Foto AFP
Bandar raya Brisbane yang pernah menjalani 'lockdown' pada Januari lalu. - Foto AFP
A
A
A

BRISBANE - Bandar raya Brisbane menjalani perintah 'lockdown' mulai Selasa yang menyebabkan penduduk diarahkan oleh pihak berkuasa supaya tinggal di rumah masing-masing selama tiga hari ekoran penularan pandemik Covid-19.

Kira-kira 10 juta penduduk Australia akan menjalani 'lockdown' pada petang Selasa iaitu bandar raya keempat yang diarah berbuat demikian selepas Darwin, Sydney dan Perth.

"Ini ialah keputusan yang sukar," kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk seperti dilaporkan oleh AFP.

"Kita terpaksa menjalani 'lockdown' di beberapa bandar raya utama kerana ketibaan (pengembara) dari luar negara yang membawa virus Covid-19 ke sini," tambahnya.

Setakat ini, Australia telah merekodkan lebih 30,000 kes dan 910 kematian akibat Covid-19 di negara yang didiami oleh kira-kira 25 juta penduduk.

Penularan pandemik itu sebelum ini berlaku di Sydney apabila 130 orang disahkan positif selepas seorang pemandu untuk kru penerbangan antarabangsa disahkan mendapat jangkitan Covid-19 pada pertengahan bulan ini.

Australia yang dikenali di dunia kerana berjaya mengawal penularan Covid-19 kini berdepan ancaman daripada varian Delta yang berasal dari India kerana ia mudah menjangkiti manusia dalam tempoh yang cepat.

Brisbane sebelum ini pernah menjalani perintah 'lockdown' pada Januari lalu selama tiga hari selepas seorang pekerja pembersihan di sebuah hotel dijangkiti Covid-19 varian United Kingdom daripada seorang pengembara yang baru pulang dari luar negara. - Agensi

Artikel Berkaitan: