Vaksin: Lebih 100 pelaut di Labuan telah divaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Lebih 100 pelaut di sekitar perairan Labuan telah mula menerima vaksin Covid-19 bermula Isnin, di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Pengerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Labuan, Rithuan Ismail berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 400 pelaut yang terlibat, dalam sektor berkaitan industri minyak dan gas dan perkapalan.

“Adalah digalakkan untuk pelaut-pelaut ini divaksinkan, kerana kebanyakan mereka menggunakan Labuan sebagai pintu keluar masuk mereka,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, kerja-kerja vaksinasi untuk pelaut itu merupakan sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan bagi mengawal penularan Covid-19 pada komuniti tempatan.

“Selepas aktiviti vaksinasi kepada pelaut ini selesai, kita akan memulakan kepada pekerja dalam industri minyak dan gas yang betugas di atas pelantar minyak,” kata Rithuan.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 di pulau bebas cukai itu sebahagiannya disebabkan oleh pekerja dalam sektor perkapalan dan minyak dan gas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Alimuddin Amiruddin berkata, kerja-kerja vaksinasi itu dibuat bersempena dengan Hari Pelaut pada 25 Jun, telah dilaksanakan oleh kakitangan Kesihatan Labuan dengan kerjasama Jabatan Laut Labuan dan LDA Holdings Sdn Bhd.

Beliau berkata, kerja-kerja vaksinasi akan diteruskan esok untuk 200 orang pelaut sehingga kesemua pelaut yang berada di atas kapal yang berlabuh di perairan itu, divaksinkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menerima permohonan daripada 416 pelaut untuk divaksinkan, dan kami akan minta selebihnya untuk ke terminal feri itu bergilir-gilir,” katanya selepas proses vaksinasi di terminal itu di sini pada Isnin.

Dalam usaha mengekang peningkatan kes Covid-19, kapal yang berlabuh di perairan Labuan tidak dibenarkan ‘sign off’ kru mereka dari semua warganegara ke Labuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Perketatkan (PKPD) di Labuan dari 24 hingga 28 Jun. - Bernama