PRN: Pas Kelantan serah lebih 100 nama calon

Wan Roslan Wan Hamat
Wan Roslan Wan Hamat
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pas Kelantan menyerahkan lebih 100 nama untuk diangkat sebagai calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, senarai nama itu termasuklah penyandang yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Setiap DUN mengemukakan antara tiga hingga lima nama untuk diletakkan sebagai calon wakil rakyat.

"Calon-calon itu adalah hasil kajian dan suara diberikan oleh ahli di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya pada Rabu.

Menurut beliau, kebanyakan calon merupakan individu yang bersih dan boleh memberikan kemenangan kepada parti.

Ujarnya, kesemua mereka akan ditapis oleh Majlis Syura Ulamak sebelum diumumkan sebagai calon sah untuk PRN dan proses tapisan berkenaan merupakan amalan Pas setiap kali menghadapi pilihan raya.

"Untuk PRN kali ini, kita akan tampilkan 30 peratus muka baharu daripada pelbagai latar belakang termasuklah profesional," katanya.