Kilang dikompaun pekerja melebihi 60 peratus

Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang di daerah Kerian pada Isnin.
Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang di daerah Kerian pada Isnin.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sebuah kilang memproses peralatan perubatan di sini dikompaun sebanyak RM27,500 selepas dikesan melakukan tiga kesalahan dalam Op Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pemeriksaan yang bermula jam 10.30 pagi itu mendapati kehadiran pekerja melebihi 60 peratus selain lima pekerjanya gagal mengimbas kod MySejahtera ketika memasuki premis.

"Bagi kesalahan itu, majikan dikenakan kompaun RM10,000 serta jumlah sama bagi kesalahan gagal memastikan pekerjanya mengimbas kod MySejahtera.

"Lima pekerja berusia lingkungan 20an hingga 30an masing-masing dikenakan kompaun RM1,500," katanya kepada pemberita di kawasan Perindustrian Parit Buntar, di sini pada Isnin.

Operasi selama dua jam itu disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian.

Menurutnya, kesemua kompaun itu dikeluarkan di bawah peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Operasi ini akan diteruskan dengan memfokuskan penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang dan premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi.

"Pemeriksaan berterusan dilakukan kerana kita tidak mahu wujudnya kluster baharu di sektor ini di daerah Kerian," katanya.

Artikel Berkaitan: