Capaian internet lemah, pelajar terpaksa 'ponteng' PdPR

Rousillah menunjukkan kelajuan internet yang diukur di Kampung Panggong.
Rousillah menunjukkan kelajuan internet yang diukur di Kampung Panggong.
A
A
A

PASIR PUTEH - Capaian internet lemah memaksa anak-anak di Kampung Panggong, di sini 'ponteng' kelas yang dilaksanakan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang murid, Airil Firhan Fazlan, 11, berkata, buat masa ini pembelajaran menerusi aplikasi WhatsApp menjadi solusi terbaik bagi mengelakkan dia terlepas kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

"Keadaan internet yang terlalu lemah, nak masuk kelas 'google meet' pun susah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, walaupun terpaksa berdepan kekangan tersebut namun tetapi dia tetap bersemangat mengikuti PdPR kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, seorang penduduk, Rousillah Ibrahim, 35, berkata, masalah capaian internet lemah bertambah teruk sejak penularan pandemik Covid-19 apabila orang ramai lebih banyak berada di rumah.

Katanya, penggunaan internet yang meningkat memberi kesan terhadap liputan di kawasan tersebut.

"Saya sudah lima kali membuat laporan kepada pihak berkenaan namun tiada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah ini sejak tahun lalu.

"Sebagai alternatif, saya terpaksa keluar dari kampung untuk melakukan urusan yang memerlukan capaian internet," katanya yang bergantung sepenuhnya kepada kemudahan itu.

Artikel Berkaitan:

Rousillah mendakwa, dua kawasan yang terbabit dengan masalah itu ialah Kampung Gong Serai dan Kampung Haji Su.

Justeru, dia merayu kepada pihak berkenaan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah terbabit untuk masa depan anak-anak di kawasan itu.