Kurma ajwa bekas ADUN Selising berbuah lebat

Mohd Zulkifli menunjukkan pokok kurma ajwa yang ditanam di kediamannya di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh sejak empat tahun lalu berbuah dengan lebat.
Mohd Zulkifli menunjukkan pokok kurma ajwa yang ditanam di kediamannya di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh sejak empat tahun lalu berbuah dengan lebat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kurma merupakan tumbuhan khas yang berasal dari Timur Tengah dan lazimnya sesuai ditanam serta hidup di kawasan iklim panas kering.

Pokok kurma bukanlah jenis pokok yang mudah untuk ditanam dan boleh menjadi satu cabaran yang menyeronokkan apabila pokok jenis palma itu ditanam di negara yang banyak hujan seperti di Asia Tenggara.

Perkara itu diakui oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Mohd Zulkifli Ali, 54, apabila tanaman kurma ajwa yang diusahakan sejak empat tahun lalu berbuah dengan lebat.

Uniknya, kurma yang diusahakan Mohd Zulkifli itu berbuah seiring dengan perkembangan yang sedang berlaku di bumi Madinah ketika ini.

Mohd Zulkifli berkata, dia sama sekali tidak menyangka percubaan menanam buah kurma itu membuahkan hasil dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai anugerah ALLAH buat dia dan keluarga.

"Saya tanam pokok kurma ini asalnya sebagai hiasan dan beranggapan ia mungkin tidak berbuah memandangkan keadaan iklim di Malaysia yang panas dan lembap serta berbeza dengan tanah arab," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Alor Hijau, di sini pada Ahad.

Pokok kurma yang diusahakan Mohd Zulkifli di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh berbuah seiring dengan perkembangan yang sedang berlaku di bumi Madinah ketika ini.
Pokok kurma yang diusahakan Mohd Zulkifli di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh berbuah seiring dengan perkembangan yang sedang berlaku di bumi Madinah ketika ini.

Menurutnya, pohon kurma yang sudah berusia empat tahun itu telah mengeluarkan hasil pada tahun pertama serta kedua namun kesemuanya gugur dan tidak sempat dinikmati.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun kali ini ia berbuah lebat dan menunggu masa untuk dituai.

Zulkifli berkata, isi buah kurma ajwa di rumahnya itu lebih nipis berbanding yang berada di pasaran tetapi rasa manisnya tetap sama.

Katanya, usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan lagi hasil dengan pembajaan sebanyak dua bulan sekali menggunakan baja organik bagi memastikan buah berbuah lebat dan isinya lebih tebal.

"Selain ajwa, saya turut mempunyai sembilan lagi pokok kurma yang ditanam di kawasan sekitar rumah," katanya.

Isi buah kurma ajwa milik Mohd Zulkifli lebih nipis berbanding yang berada di pasaran tetapi rasa manisnya tetap sama.
Isi buah kurma ajwa milik Mohd Zulkifli lebih nipis berbanding yang berada di pasaran tetapi rasa manisnya tetap sama.

Zulkifli berkata, berpandukan kepada pengalaman, pokok kurma boleh dikomersialkan di negara ini jika diusahakan dengan betul.

Katanya, cuaca panas terik sangat sesuai bagi membantu proses mengeluarkan buah dan mengekalkan kualiti asalnya yang rangup dan manis.

"Hasil yang diperoleh tahun ini turut menyangkal pendapat bahawa pokok kurma tidak sesuai ditanam di negara ini.

"Selain buah, tanaman kurma juga dapat menghasilkan nira yang rasanya lebih sedap daripada nira kelapa," katanya.