Keputusan benarkan PPW beroperasi buka ruang manipulasi rakyat

Faizah Ariffin
Faizah Ariffin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan Pemberi Pinjaman Wang (PPW) berdaftar beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan membuka peluang kepada syarikat pinjaman wang tidak berlesen memanipulasi rakyat yang kesempitan duit.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Faizah Ariffin berkata, perkara itu berpotensi mengheret rakyat kepada tekanan hidup yang serius jika perkara tersebut gagal dikawal dan semakin berleluasa.

“Ada yang sanggup bunuh diri dan dapat dilihat berlaku peningkatan 20 peratus kes itu berbanding tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Rabu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya memaklumkan, hanya syarikat PPW berdaftar di bawah dan mendapat kelulusan daripada sistem CIMS dibenarkan beroperasi.

Bagi syarikat kredit komuniti di Sabah, Sarawak dan Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS), Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak (JKNS) dan Perbadanan Labuan (PL).

Jelas Faizah, KPKT perlu menasihatkan kerajaan untuk menyegerakan rundingan bank bagi moratorium automatik, mengurangkan caj faedah pinjaman, memudahkan proses kelulusan pinjaman, serta memaksimumkan agihan bantuan zakat secara lebih efektif.

Menurutnya, tindakan kerajaan mencetuskan pertikaian ramai mengenai senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas dan takrifan perkhidmatan perlu yang longgar merupakan punca lambakan perniagaan serta kilang terus beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Maka tidak hairan angka jangkitan Covid-19 dan kematian masih tinggi walaupun sudah hampir sebulan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dikuatkuasakan,” ujarnya.