Thailand catat lagi 4,161 kes baharu, 51 kematian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan 4,161 kes baharu Covid-19 dan 51 lagi kematian termasuk seorang remaja 15 tahun, dalam tempoh 24 jam lalu.

Secara keseluruhan, Thailand kini merekodkan 240,452 kes jangkitan dan 1,870 kematian setakat ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata, kes kematian terbaharu itu melibatkan 31 lelaki dan 20 wanita berusia antara 15 hingga 92 tahun termasuk seorang warga China.

Angka korban mencecah 51 untuk kali kedua minggu ini. Jumlah kematian itu juga adalah yang tertinggi dalam sehari dilaporkan setakat ini.

Dalam satu kenyataan, CCSA berkata, 23 kematian dilaporkan di Bangkok, Nonthaburi (tujuh), Samut Prakan (empat), masing-masing tiga di Nakhon Pathom, Pathum Thani dan Pattani dan masing-masing satu di Phuket, Chon Buri, Chaiyaphum, Prachuap Khiri Khan, Chiang Rai, Narathiwat, Yala dan Nakhon Ratchasima.

Mengenai kes baharu pula ia melibatkan 4,142 penularan tempatan, di antaranya 1,035 melalui pengesanan kes aktif dan 19 kes import termasuk lima rakyat tempatan yang masuk secara sah dari Malaysia.

Bangkok kekal mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,276 diikuti Samut Prakan (322), Chon Buri 320, Samut Sakhon (291), Songkhla (215), Pattani (150), Nakhon Pathom (135) dan Yala (135).

"Sehingga kini, sejumlah 41,907 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,662 dalam keadaan serius dan 470 bergantung pada alat bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, susulan arahan menutup semua tapak pembinaan selama sebulan,anggota tentera akan dikerahkan ke kem pekerja binaan di Bangkok dan wilayah berdekatan untuk mengelakkan mereka balik ke rumah.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich berkata, tentera darat, udara dan laut serta pasukan operasi Keselamatan Dalam Negeri dan polis akan bekerjasama untuk membendung lonjakan kes Covid-19 di Bangkok.

"Pasukan itu akan dikerahkan di penempatan pekerja untuk memastikan pelaksanaan sekatan pergerakan benar-benar berkesan (di Bangkok).

"Di empat wilayah di selatan, tentera akan membantu polis dan pihak berkuasa tempatan mengekang aktiviti rentas wilayah yang mungkin menyumbang kepada penularan penyakit, terutama varian Beta (Afrika Selatan)," katanya seperti dipetik Thai PBS.

Semalam, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan semua tapak pembinaan dan kem pekerja di Bangkok dan wilayah berdekatan ditutup sebulan berikutan kemunculan banyak kluster pekerja binaan di bandar raya itu.

Media tempatan melaporkan terdapat kira-kira 575 tapak binaan di Bangkok dengan kira-kira 81,000 pekerja dan ada 37 kluster membabitkan kem berkenaan.

Selain itu, empat wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, juga akan dikenakan arahan sekatan pergerakan selama sebulan. -Bernama