‘Rumah’ terakhir 63 jenazah Covid-19

A
A
A

SUBANG JAYA - Seiring jumlah kematian akibat Covid-19 yang sehingga kini mencecah lebih 4,700 kes, kapasiti tanah perkuburan untuk menampung pengebumian jenazah turut mendapat perhatian.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, bermula bulan Januari hingga Jun tahun ini, Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya di bawah seliaan MBSJ sudah menerima sebanyak 63 jenazah positif Covid-19.

“Setakat 24 Jun, sejumlah 63 jenazah pesakit Covid-19 telah dikebumikan di sini. 34 jenazah merupakan warga tempatan sementara 29 lagi adalah jenazah warga asing,” ujar Mohd Zulkurnain dalam temuramah bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, 26 adalah jenazah lelaki dan 37 lagi jenazah perempuan dan majoriti jenazah pesakit Covid-19 yang dikebumikan di sini adalah dari kawasan di sekitar Puchong dan Subang Jaya.

Mohd Zulkurnain menjelaskan, bagi urusan jenazah berstatus Covid-19 kakitangan Tanah Perkuburan USJ 22 berperanan untuk menyediakan liang lahad serta pendaftaran jenazah manakala prosedur pengebumian adalah di bawah kawal selia petugas Pejabat Kesihatan Daerah Petaling (PKD).

“Apabila kita terima panggilan dari hospital mengatakan ada jenazah pesakit Covid-19 akan tiba, pihak kami akan menghubungi PKD Daerah Petaling kerana petugas mereka yang akan memakai pakaian pelindung diri (PPE) dan seterusnya menguruskan proses pengebumian dari awal hingga akhir.

“Daripada segi kelengkapan pengebumian jenazah Covid-19, pihak MBSJ menyediakan PPE bersama kelengkapan pembasmi kuman kepada petugas kubur yang membantu sepanjang proses pengebumian dan untuk proses pembersihan kendiri selepas pengebumian selesai,” ujarnya lagi.

Tambah Mohd Zulkurnain lagi, tanah perkuburan berkeluasan 19 ekar itu sedia menerima permohonan pengebumian jenazah yang bermastautin di kawasan Subang Jaya sama ada berstatus jenazah biasa atau jenazah Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, malah terdapat status jenazah tidak dituntut oleh waris yang dihantar oleh pihak hospital ke kawasan perkuburan ini.

“Setakat ini kita bersedia untuk menerima dan mengebumikan jenazah Covid-19 walaupun dalam bilangan yang banyak berikutan kita telah menerima mandat daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Malah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah agar segala urusan pengebumian jenazah Covid-19 dipermudahkan tanpa mengira kawasan,” katanya lagi.

Menyentuh bagaimana MBSJ menangani situasi sekiranya ada ahli keluarga atau waris mahu bersama-sama menguruskan jenazah sepertimana kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 melanda, Mohd Zulkurnain berkata, setakat ini pihaknya tidak berdepan masalah tersebut dan menerima kerjasama baik daripada semua pihak.

“Kebanyakan masyarakat sudah faham, untuk tujuan keselamatan kita tidak dapat mengikuti proses pengebumian melibatkan jenazah Covid-19. Namun mereka boleh melihat daripada luar pagar dan kawalan keselamatan turut tersedia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Sayu hati urus pengebumian jenazah beberapa ahli keluarga yang sama

Pengorbanan frontliners liang lahad