X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki jadi kurier daun ketum ditahan

Mohd Said (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah Seremban pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai kurier daun ketum menggunakan lori ditahan polis di susur keluar sekatan jalan raya (SJR) Seremban - Port Dickson, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek masing-masing berusia 24 dan 36 tahun awalnya mendakwa membawa muatan berisi ikan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 23 kotak polisterin mengandungi 345 kilogram daun berwarna hijau disyaki ketum bernilai RM10,350.

"Suspek dipercayai dari Merbau, Kedah dengan tujuan menjadi penghantar kurier daun ketum kepada seorang individu dipercayai berada di Port Dickson," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah Seremban pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, pihak polis masih menyiasat sama ada suspek telah biasa melakukan kerja tersebut atau baru pertama kali.

Daun ketum yang dirampas daripada dua lelaki yang ditahan
Daun ketum yang dirampas daripada dua lelaki yang ditahan

"Kita juga mendapati pemandu lori tersebut mengambil upah menghantar daun ketum dan bayaran dikenakan masih dalam siasatan," katanya.

Mohd Said berkata, kedua-dua suspek sebelum itu menunjukkan surat kebenaran perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun taktik itu tidak berhasil.

"Mereka beranggapan dengan menunjukkan surat MITI boleh lepas, tetapi tindakan itu membawa padah apabila kami membuat pemeriksaan lanjut ke atas muatan yang dibawa.

"Selain itu, mereka juga didapati menyalahgunakan surat tersebut yang mana hanya perjalanan membawa barang-barang keperluan dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Jumaat dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!