X

Kindly register in order to view this article
!

17 pembantu gerai Pasar Awam Taman Chai Leng dicari

Pasar Awam Taman Chai Leng ditutup selama 10 hari berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan peniaga.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 17 pembantu gerai di Pasar Awam Taman Chai Leng masih tidak dapat dihubungi dan gagal untuk menjalankan ujian calitan Covid-19.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, mereka perlu mendapatkan ujian itu susulan 32 kes positif yang dikesan melibatkan peniaga, pembantu gerai, anggota persatuan dan pembantu awam di pasar awam terbabit sebelum ini.

Menurutnya, sehingga Khamis, seramai 152 orang telah disaring termasuk 19 orang pekerja MBSP.

"MBSP telah mengeluarkan satu notis arahan kepada 143 peniaga di dalam pasar awam terbabit dan 56 peniaga pasar pagi di luar bangunan pasar awam MBSP supaya menjalankan ujian saringan dan melaporkan keputusan ujian tersebut kepada pihak MBSP.

"Mana-mana peniaga yang masih gagal menjalani ujian saringan tidak akan dibenarkan untuk membuka semula operasi perniagaan mereka selepas 29 Jun atau sehingga dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Pasar Awam Taman Chai Leng ditutup selama 10 hari berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan peniaga.

Sementara itu, Rozali berkata mereka yang terlibat diminta untuk menghubungi Jabatan Pelesenan MBSP di talian 04-5497685 pada waktu pejabat atau terus berhubung dengan Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Awam Taman Chai Leng untuk tindakan selanjutnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!