Culik demi wang, tiga Rohingya ditahan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita Rohingya selepas disyaki menculik seorang wanita Indonesia berusia 20-an di rumah sewanya di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu dibuat sehari selepas kejadian susulan laporan suami mangsa yang juga warganegara Myanmar berusia 30-an.

Menurutmya, bertindak atas laporan dan maklumat risikan yang dijalankan, pihaknya melakukan serbuan di hadapan kedai makan di Jalan Kuala Ketil-Merbau Pulas kira-kira jam 12 tengah hari, 21 Februari dan menahan seorang suspek.

“Berpandukan tangkapan itu, serbuan seterusnya dibuat di sebuah rumah di Kampung Pantai Chicar, Kuala Ketil dan berjaya menahan seorang lagi suspek wanita sebelum menemui mangsa dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan atas dirinya.

“Seorang lagi suspek lelaki menyerah diri dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, polis kemudian merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) daripada semua suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah itu bertujuan untuk mendapatkan wang daripada mangsa, namun siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar.

"Kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu ditahan reman sehingga 2 Mac ini untuk siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksan kerana menculik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: