X

Kindly register in order to view this article
!

Dua tapak binaan diarah tutup, operasi dua lagi ditarik balik

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Dua tapak projek pembinaan di Sabah diarah tutup manakala dua lagi kelulusan operasi tapak projek di Johor ditarik balik berikutan kegagalan kontraktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan tindakan itu dibuat oleh CIDB Negeri Sabah dan CIDB Negeri Johor susulan Operasi Penguatkuasaan PKP 3.0 yang dijalankan hari ini.

Menurut CIDB dalam operasi di Sabah pihaknya mendapati dua tapak bina di negeri itu gagal mematuhi senarai semak SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) Covid-19 manakala enam daripada lapan tapak bina yang dilawati tidak beroperasi.

“Kedua-dua tapak bina di Beaufort dan Kinabatangan itu diarah untuk menghentikan operasi serta- merta selain Notis Pemberhentian kerja N3E/2021 dan Notis Gagal Mematuhi SOP Kerja Pembinaan semasa PKP N3B/2015 turut dikeluarkan,” demikian menurut kenyataan itu.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal mengisytiharkan projek kepada CIDB, projek beroperasi tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), perakuan pendaftaran telah tamat tempoh dan kerja yang dijalankan bukan kritikal.

“Selain itu, rumah penginapan pekerja yang disediakan juga tidak mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” jelas CIDB.

Bagi Operasi Penguatkuasaan PKP 3.0 CIDB Negeri Johor yang dijalankan di sekitar Johor Bahru, dua daripada 16 tapak bina yang dilawati tidak mematuhi SOP dan tujuh tapak didapati tidak beroperasi.

“Kedua-dua tapak bina itu menjalankan projek pembinaan untuk bangunan komersial tujuh tingkat... notis dikeluarkan kepada kontraktor utama dan kelulusan MITI ditarik balik kerana projek itu gagal memenuhi syarat beroperasi PKP penuh dan penginapan pekerja yang disediakan didapati tidak mendapat kelulusan JTK dan PBT,” menurut kenyataan itu.

Sejak PKP 3.0 dilaksanakan, CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap 2,678 tapak bina dan daripada 511 tapak bina yang beroperasi, 153 daripadanya gagal mematuhi SOP dan diarah tutup, bagaimanapun 11 daripadanya dibenar beroperasi semula selepas didapati mematuhi SOP.

CIDB mengingatkan penggiat industri pembinaan agar mematuhi SOP dan senarai SOP yang terkini boleh dimuat turun di www.cidb.gov.my - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!