Contohi China dalam membangun ekonomi, teknologi

Persidangan Maya ‘Pentadbiran China: Perspektif daripada Asia Tenggara' pada Rabu itu disertai oleh sembilan panelis yang terdiri daripada lapan pakar akademik dan seorang bekas diplomat daripada Asia Tenggara.
Persidangan Maya ‘Pentadbiran China: Perspektif daripada Asia Tenggara' pada Rabu itu disertai oleh sembilan panelis yang terdiri daripada lapan pakar akademik dan seorang bekas diplomat daripada Asia Tenggara.
A
A
A

SHAH ALAM - Negara membangun di seluruh dunia termasuk Malaysia perlu mempelajari model pentadbiran kerajaan China yang berjaya memacu kemajuan ekonomi dan teknologinya.

Pengarah Institut Pengajian China, Universiti Malaya (UM), Dr Ngeow Chow Bing berkata, pengalaman kerajaan China dalam menguruskan pembangunan negara tersebut bagi tempoh tiga dekad yang lalu merupakan sesuatu yang penting dan boleh dipelajari negara lain.

Menurutnya, antara pencapaian hebat negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu ialah pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan rakyat, pembangunan ekonomi, teknologi serta yang terbaharu pengurusan krisis kesihatan Covid-19.

“Pada 2021, China mengumumkan kejayaan mengeluarkan jutaan rakyatnya daripada kemiskinan. Ketika seluruh dunia dilanda Covid-19, China menjadi negara pertama yang berjaya mengawal Covid-19 dan ia merupakan satu-satunya negara ekonomi utama yang mencatatkan pemulihan sangat baik pada tahun lalu.

“China juga dalam perjalanan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang apabila kerajaannya dilihat berjaya memastikan rakyatnya memiliki kehidupan yang selesa.

“Teknologi yang dihasilkan juga adalah sangat inovatif, sofistikated, berdaya saing dan mampu milik yang mana ia merupakan aspek yang sangat penting kepada negara membangun,” katanya ketika persidangan maya bertajuk ‘Pentadbiran China: Perspektif daripada Asia Tenggara' pada Rabu.

Chow Bing
Chow Bing

Turut bersama pada persidangan anjuran Institut Pengajian China UM dan Kedutaan Besar China di Malaysia itu ialah Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial UM, Profesor Datuk Dr Danny Wong Tze Ken.

Artikel Berkaitan:

Persidangan yang dianjurkan bagi tujuan memahami pentadbiran politik domestik dan pembangunan ekonomi China itu disertai sembilan panelis yang terdiri daripada lapan pakar akademik dan seorang bekas diplomat daripada Asia Tenggara.

Antara isu pentadbiran yang disentuh dalam persidangan tersebut merangkumi pengurusan Covid-19 dan pembangunan ekonomi serta teknologi negara China.

Chow Bing berkata, rentetan kejayaan cemerlang China pada masa kini menunjukkan bahawa negara tersebut memiliki model dan pengalaman pentadbiran yang sangat penting serta boleh dikongsikan bersama negara membangun yang lain.

Sementara itu, Yujing ketika ucapan pembukaan persidangan tersebut berkata, kejayaan yang dicapai negaranya terhasil dengan berpandukan kepada karakter masyarakat China selain penumpuan penuh terhadap sistem pentadbiran yang efisien dan efektif.

“Contohnya, semua pihak mungkin mengetahui mengenai Rancangan Lima Tahun China. Sebenarnya, banyak negara pernah memiliki rancangan pembangunan sedemikian, tetapi majoriti daripada mereka berhenti daripada mempraktikkan kaedah perancangan tersebut.

“Bagi China, kami tidak hanya bergantung rancangan tersebut dalam jangka waktu yang lama tetapi turut menggabungkan rancangan bertahap ini dengan visi jangka sederhana dan panjang selain menyusun rancangan utama pembangunan China,” ujarnya.

Yujing ketika memberikan ucapan pembukaan pada persidangan maya tersebut pada Rabu.
Yujing ketika memberikan ucapan pembukaan pada persidangan maya tersebut pada Rabu.

Sementara itu, Penyelidik Pusat Pentadbiran Awam Nanyang, Universiti Teknologi Nanyang, Guanie Lim berkata, antara perkara yang boleh dipelajari oleh negara lain dalam kemajuan teknologi China adalah peranan proaktif negara dalam membangunkan sektor berkenaan.

Menurutnya, meskipun penglibatan aktif syarikat milik kerajaan (SOE) dalam sektor teknologi tidak menjamin sepenuhnya kejayaan dalam usaha berkenaan, namun China dilihat berjaya menggunakan kaedah itu bagi memajukan bidang tersebut.