Kerajaan perkasa usahawan OKU

Mohd Rezuan (tengah) bermesra dengan usahawan OKU Negeri Sembilan tadi.
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pembangunan Usahawan akan terus membantu usahawan orang kurang upaya (OKU) bagi memperkukuhkan ekonomi golongan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata pelbagai bantuan dan modul pelajaran disediakan untuk membantu usahawan OKU ini agar terus berdaya saing sama seperti usahawan lain.

"Kita mempunyai banyak program, bantuan termasuk modul pelajaran perniagaan terkini bagi membantu usahawan OKU.

"Jika usahawan OKU itu boleh menggunakan tangan mereka boleh mengikuti program yang menggunakan teknologi terkini, dengan itu mereka boleh menjalankan perniagaan secara atas talian atau mempromosikan produk mereka secara digital,"katanya.

Tambahnya, setiap konvensyen usahawan yang dianjurkan, pihaknya akan memastikan 50 peserta itu haruslah terdiri daripada usahawan OKU, bagi memastikan mereka juga boleh menghadiri konvensyen seperti itu, malah tempat khas termasuk penyediaan juru bahasa juga disediakan kepada OKU pekak dan bisu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera dan Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawanan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Mohd Redzuan (tengah) bersama usahawan OKU Negeri Sembilan.
Mohd Redzuan (tengah) bersama usahawan OKU Negeri Sembilan.

Pada program tersebut, turut diadakan pelancaran Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) Sistem Online, yang diwujudkan pertama kali untuk membolehkan kementerian tersebut mendekati rakyat dengan lebih berkesan.

Menurut Mohd Redzuan, PSK ini sebagai hub keusahawanan dalam memberi khidmat nasihat, menyelaras maklum balas dan menyimpan data usahawan di setiap negeri.

"Bagi memantapkan lagi penyampaian PSK ini kepada rakyat, kita melancarkan pula PSK dengan usaha pengintegrasian PSK Sistem Online, yang boleh diakses dengan mudah dan cepat.

"Ia akan membolehkan para usahawan dan bakal usahawan mendapatkan informasi daripada 180 buah agensi keusahawanan dengan 700 maklumat berkaitan usahawan, serta boleh membuat rujukan di situ,"katanya.

PKS mula di lancarkan pada 15 Oktober lalu di Platinum Kuala Lumpur, kemudian diwujudkan di Kedah, Perak, Selangor, dan Johor, dijangka pada bulan Mac ini semua negeri mempunyai PSK.

Pada konvensyen tersebut lebih 600 usahawan daripada pelbagai sektor di negeri ini hadir untuk bersama dan mengadakan sesi dialog bersama pihak kementerian.