X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Kadar vaksinasi di Negeri Sembilan ditingkatkan 20,000 sehari

Khairy
A
A

SEREMBAN - Kadar suntikan vaksinasi harian Covid-19 di Negeri Sembilan akan ditingkatkan kepada 20,000 suntikan sehari menjelang Julai ini memandangkan negeri itu berdepan dengan gelombang penularan kes yang agak tinggi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketetapan itu dibuat hasil kesepakatan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Pusat dan negeri.

"Oleh kerana Negeri Sembilan juga merupakan salah satu negeri industri dan kluster tempat kerja semakin meningkat, jadi kita buat ketetapan bersama untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin di negeri ini.

"Kadar 20,000 suntikan vaksin setiap hari itu merupakan kapasiti tertinggi yang akan kita buat bulan Julai nanti berbanding kapasiti tertinggi harian setakat ini iaitu 7,000 suntikan sahaja.

"Ini merupakan strategi kita untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini yang turut disokong dengan penghantaran 600,000 dos vaksin Covid-19 juga pada bulan Julai nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pasca Mesyuarat CITF Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin
Aminuddin

Mengulas lanjut, Khairy berkata, dengan penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pihaknya yakin dapat mempercepatkan proses vaksinasi dan imuniti Covid-19 di Negeri Sembilan termasuk PPV yang lebih besar untuk orang awam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

"Usaha ini diyakini dapat selesaikan pemberian vaksin kepada 80 peratus penduduk di sini pada akhir Oktober iaitu dua bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

"Selain itu, sebagai permulaan sebanyak dua PPV industri di Negeri Sembilan akan dibuka pada awal bulan Julai iaitu di D'Tempat Country Club, Sendayan dan D'Cattleya, Senawang yang diselaraskan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Buat masa ini, kita sudah ada 46 kilang melibatkan15,000 pekerja yang telah berdaftar di bawah MITI dan menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS)," katanya.

Khairy turut menjelaskan setiap PPV industri boleh menampung kapasiti harian sebanyak 1,500 orang dan akan bermula dengan syarikat perkilangan yang besar.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sehingga kini terdapat 62 PPV telah dibuka di negeri ini melibatkan 13 PPV Klinik Kesihata; tujuh PPV hospital kerajaan; lapan PPV awam; tujuh PPV hospital swasta dan 27 PPV klinik pengamal perubatan am swasta.

"Pada Jun dan Julai ini sebanyak 32 lagi PPV yang akan dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPV yang akan beroperasi di negeri ini pada fasa 3 berjumlah 94 buah dengan kapasiti suntikan sebanyak 20,000 sehari jika semua PPV beroperasi pada kapasiti maksimum," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!