21 individu main judi dalam rumah kedai dicekup

Kesemua yang ditahan dikompaun sebanyak RM4,000 manakala pemilik premis dikompaun RM20,000.
Kesemua yang ditahan dikompaun sebanyak RM4,000 manakala pemilik premis dikompaun RM20,000.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 21 orang termasuk dua wanita ditahan dan dikompaun kerana didapati bermain judi di sebuah rumah kedai di Gat Lebuh Macallum di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pada jam 5.30 petang itu mendapati salah seorang daripada mereka merupakan pemilik premis yang menganjurkan kegiatan judi tersebut.

Beliau berkata, kesemua mereka dikompaun RM4,000 setiap seorang, manakala pemilik premis dikompaun sebanyak RM20,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Sekatan Pergerakan Penuh masih berkuatkuasa.

"Kita menerima maklumat berhubung kegiatan bermain judi di sebuah rumah kedai lalu menyerbu premis berkenaan. Pemeriksaan mendapati terdapat 19 lelaki dan dua wanita tempatan sedang berkumpul dan bermain judi di dalam bangunan tersebut.

"Kita merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dipercayai wang pertaruhan, manakala kesemua tangkapan berusia lingkungan 30 hingga 64 tahun direman dua hari sehingga esok (Rabu)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, seramai 20 orang yang ditangkap itu mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

"Kesemua mereka dikenakan kompaun kerana kesalahan mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 iaitu berhimpun di dalam premis dalam kawasan tempatan jangkitan.

"Pemilik premis juga disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki menganjur aktiviti perjudian, manakala yang lain disiasat di bawah 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki bermain judi di dalam bangunan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Soffian, polis turut mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memotong bekalan elektrik di premis berkenaan pada jam 10 pagi Selasa.

Katanya, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 Pindaan 2001).