Lelaki lari pemeriksaan polis ditahan

Gambar kecil: Abd Khalid
Gambar kecil: Abd Khalid
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Subang Jaya pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, sepasukan anggota dari cawangan kereta peronda (MPV) ternampak sebuah kereta BMW dalam keadaan mencurigakan pada jam 11 pagi.

"Kita telah mengarahkan kenderaan yang dinaiki dua lelaki itu berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan, namun pemandu kereta itu memecut laju dalam keadaan merbahaya ke arah Klang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Abd Khalid berkata, pihaknya meminta pasukan MPV lain membantu mengejar kenderaan suspek sehingga ke kawasan Klang.

"Setelah mendapat bantuan MPV Klang Selatan, kenderaan suspek itu berjaya ditahan di kawasan perumahan di Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan, manakala seorang lagi suspek telah melarikan diri.

"Suspek berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat pergelutan kecil tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, polis telah menjumpai satu beg kecil berwarna hitam di tempat duduk belakang yang mengandungi peralatan untuk menghisap dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menemui satu keratan straw berisi ketulan serbuk kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 0.5 gram," katanya.

Abd Khalid berkata, pihaknya telah mengenal pasti suspek yang melarikan diri itu.

"Lelaki itu merupakan warga Vietnam, usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Suspek yang ditahan itu pula telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin atas faktor kesihatan," katanya.

Abd Khalid memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 186 / 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 akta sama.