Gantung jawatan Zahid sebab langgar ketetapan parti: Nazri Aziz

Ahmad Zahid dan Mohamed Nazri
Ahmad Zahid dan Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Biro Disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO digesa mempertimbangkan keputusan menggantung jawatan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta-merta susulan tindak-tanduk terkini pemimpin itu yang didakwa melanggar ketetapan parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu disiasat segera Biro Disiplin UMNO dan diambil tindakan tatatertib susulan terdapat tiga bukti jelas menunjukkan beliau melanggar ketetapan parti.

Ujarnya, bukti pertama adalah beliau bertindak mengutuskan surat menyatakan sokongan kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu, tanpa pengetahuan majoriti ahli Parlimen berkenaan.

"Bukti kedua pula adalah kesahihan rakaman audio perbualan beliau dengan Anwar berkait Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), sedangkan keputusan PAU sudah menetapkan pendirian 'No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), No Anwar dan No DAP'.

"Bukti terakhir pula adalah tindakan terkini beliau yang memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mendesak sidang Parlimen dibuka dalam tempoh 14 hari, tanpa merujuk kepada MKT dan ahli-ahli Parlimen UMNO terlebih dahulu.

"Sepatutnya MKT UMNO dan Biro Disiplin parti perlu menggantung jawatan Ahmad Zahid serta-merta. UMNO bukan hak eksklusif Zahid tetapi hak lebih 3.6 juta ahli parti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahmad Zahid mengemukakan pendirian tegas UMNO mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh 21 Jun.

Artikel Berkaitan:

Desas-desus satu pertemuan tergempar bakal diadakan di antara menteri-menteri UMNO dan Ahmad Zahid pada petang Selasa, menarik perhatian rakyat pada saat negara berdepan ketidaktentuan politik ketika ini.
Desas-desus satu pertemuan tergempar bakal diadakan di antara menteri-menteri UMNO dan Ahmad Zahid pada petang Selasa, menarik perhatian rakyat pada saat negara berdepan ketidaktentuan politik ketika ini.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong akan dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dikemukakan setelah satu mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan di Menara Dato Onn, bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas berpandangan Ahmad Zahid cuba menjadi hero dengan mengeluarkan kenyataan media bersifat populis.

Jelas beliau, Ahmad Zahid menyedari beliau perlu melakukan sesuatu 'gimik' untuk meraih kembali sokongan dan kepercayaan ahli-ahli UMNO susulan Presiden UMNO itu telah melakukan beberapa siri kesilapan sebelum ini.

"Mengapa hendak masuk dalam surat khabar? Hendak jadi hero? Sebelum ini Ahmad Zahid sendiri kata kerajaan PN tertubuh atas sokongan ahli-ahli Parlimen parti-parti terlibat termasuk UMNO. Mengapa tidak rujuk ahli Parlimen terlebih dahulu?

"Hubungan UMNO dengan kerajaan PN masih berstatus kawan ketika ini dengan ketetapan PAU 2020 adalah jelas, UMNO akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.

"Sepatutnya Zahid kena jiwa besar berjumpa secara tertutup dengan Perdana Menteri untuk desak kerajaan PN adakan sidang Parlimen secepat mungkin secara terhormat. Tidak perlu tindakan amaran sebegini," katanya.

Mohamed Nazri juga berpandangan tuntutan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari juga adalah tidak rasional kerana pelbagai proses perlu dipenuhi jawatankuasa khas persidangan Parlimen bagi memastikan ia memenuhi objektif persidangan.

"Pada saya, sidang Parlimen perlu dilaksanakan seperti biasa dengan proses perbincangan bukan sahaja merangkumi Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, bahkan juga segala aspek lain yang difikirkan mustahak kepada rakyat.

"Untuk membolehkan kerajaan memenuhi proses pelaksanaan sidang Parlimen, pastinya sedikit tambahan masa diperlukan dengan saya menjangkakan tempoh paling terdekat sidang Parlimen diadakan adalah pada pertengahan bulan Ogos,"katanya.