X

Kindly register in order to view this article
!

Apa akan terjadi selepas 14 hari?

Antara kemungkinan berlaku sekiranya pimpinan Muhyiddin (kanan) enggan membuat keputusan dalam 14 hari ini adalah UMNO yang diketuai Ahmad Zahid menarik sokongan dalam kerajaan PN.
A
A

SHAH ALAM - Lima kemungkinan boleh berlaku selepas tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh UMNO bagi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang Parlimen.

Lima perkara tersebut ialah UMNO menarik sokongan sepenuhnya daripada kerajaan PN, Parlimen kembali bersidang, wujud persepsi buruk terhadap kerajaan, tiada apa-apa berlaku atau krisis kepimpinan akan berlarutan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, tidak mustahil UMNO akan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan jika desakan itu gagal dipenuhi.

Katanya, keputusan Biro Politik UMNO itu perlu mendapat persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat.

“Kalau keputusan itu kekal dan Parlimen masih tidak dibuka, UMNO mungkin tarik diri sepenuhnya daripada menyokong kerajaan.

“Bagaimanapun dalam keadaan darurat, keputusan itu tidak memberikan kesan kepada kerajaan kerana PN kekal memerintah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sivamurugan
Sivamurugan

Kemungkinan kedua yang dijangka berlaku kata Sivamurugan adalah Parlimen akan kembali bersidang.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan pendirian membuka semula Parlimen dan sedang meneliti aspek penting bagi tujuan itu.

“Bila perdana menteri kata jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang sudah dibentuk untuk meneliti aspek penting sebelum sidang Parlimen diadakan, kita boleh jangkakan sidang Parlimen diadakan lebih awal, mungkin Julai atau Ogos,” katanya.

Namun, katanya, ada segelintir pihak menyatakan Parlimen boleh bersidang sebaik mendapat arahan Ketua Dewan Rakyat iaitu perdana menteri.

Tegasnya, maklumat itu perlu dihebahkan agar rakyat mengetahui apa yang memungkinkan sidang Parlimen disegerakan.

Menurutnya, jika Parlimen tetap tidak dibuka selepas tempoh 14, kemungkinan ketiga yang berlaku adalah mewujudkan persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan.

“Persepsi negatif itu wujud dalam kalangan rakyat terutama dalam menilai keupayaan kerajaan mengurus isu.

“Ia perlu ditangani kerana pandangan itu adalah daripada istana dan ia perlu diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Keratan Sinar Harian pada Khamis lalu.
Keratan Sinar Harian pada Khamis lalu.

Beliau berkata lagi, kemungkinan keempat yang boleh terjadi adalah tiada apa-apa yang berlaku.

Ujar beliau, ia berdasarkan situasi darurat yang ketika ini yang tidak akan membuatkan kerajaan PN tumbang.

“Walaupun UMNO tidak lagi menyokong kerajaan PN, PN akan kekal memerintah. Jadi, tiada apa-apa yang berlaku selepas tempoh 14 hari itu,” katanya.

Katanya, kemungkinan terakhir diramal berlaku adalah krisis kepimpinan berlarutan.

Sivamurugan berkata, tindakan lebih agresif mungkin boleh dilakukan UMNO untuk terus mendesak Parlimen bersidang iaitu dengan meminta campur tangan istana.

“Tetapi kita harus ingat, dalam kebanyakan isu, Yang di-Pertuan Agong akan bertindak atas nasihat perdana menteri.

“Keadaan itu akan menyebabkan krisis kepimpinan terus berlarutan dan berpanjangan seolah-olah masing-masing masih mengutamakan kuasa,” katanya.

Pada Isnin, UMNO mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan raja-raja pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!