12 ditahan terlibat loteri haram, judi, bookie bola sepak

Polis rampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan haram itu termasuk lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama memaparkan aplikasi kegiatan tambah nilai perjudian dalam talian, alat tulis dan buku nota serta dua helai kertas tertulis angka dipercayai nombor loteri haram.
Polis rampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan haram itu termasuk lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama memaparkan aplikasi kegiatan tambah nilai perjudian dalam talian, alat tulis dan buku nota serta dua helai kertas tertulis angka dipercayai nombor loteri haram.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 12 individu termasuk empat wanita ditahan dalam Ops Dadu Bersepadu dipercayai terlibat dengan aktiviti judi loteri awam tanpa lesen, perjudian dalam talian dan bookie bola sepak di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, individu berusia di antara 18 hingga 56 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga hari sejak Jumaat lalu membabitkan 11 premis di Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Sungai Dua dan Kepala Batas.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan haram itu termasuk lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama memaparkan aplikasi kegiatan tambah nilai perjudian dalam talian, alat tulis dan buku nota serta dua helai kertas tertulis angka dipercayai nombor loteri haram.

"Selain itu turut dirampas tujuh buah telefon bimbit dan dua daripadanya memaparkan pertaruhan bookie bola sepak, lima buah pencetak serta sejumlah wang tunai bercampur-campur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan itu di bawa ke IPD SPU untuk disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tambah beliau, polis turut mendapatkan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik di semua premis yang diserbu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian dalam talian dapat dibanteras secara berterusan sepenuhnya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti perjudian haram melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) ataupun menghubungi pihak polis IPD SPU ditalian 04 – 5762222.

Artikel Berkaitan: