MPK anjur Hari Tanpa Kenderaan

Hamiza (empat,kiri) diiringi tetamu yang hadir merakamkan gambar kenangan dengan mural pokok palma hasil pelajar-pelajar politeknik selepas Majlis Perasmian PolyKK4Kuantan 2019 di pekarangan Politeknik METrO Kuantan di sini hari ini.
Hamiza (empat,kiri) diiringi tetamu yang hadir merakamkan gambar kenangan dengan mural pokok palma hasil pelajar-pelajar politeknik selepas Majlis Perasmian PolyKK4Kuantan 2019 di pekarangan Politeknik METrO Kuantan di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengadakan Hari Tanpa Kenderaan melibatkan tiga jalan utama di daerah ini yang akan bermula pada 16 Mac depan, bertempat di Dataran Kuantan.

Setiausahanya, Datuk Hamiza Hamzah berkata hari tersebut merupakan inisiatif pihaknya ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida hingga mencemari alam sekitar.

“MPK tahun ini telah bersetuju untuk mengadakan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap minggu kedua pada setiap bulan. Selain perkhidmatan MPK, kita juga akan melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain, NGO ( Badan Bukan Kerajaan) dan IPT (Institut Pengajian Tinggi) di daerah ini.

“Kita akan menutup laluan untuk tempoh tiga jam bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi. Jalan-jalan yang akan ditutup sepanjang program tersebut iaitu Jalan Tanah Putih, Jalan Mahkota dan jalan besar yang akan bermula di Dataran Kuantan berhampiran Ibu Pejabat MPK,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian PolyKK4Kuantan 2019 di pekarangan Politeknik METrO Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Tuan Ts Mohamad Amin Hamat.

Dalam pada itu, Hamiza berkata PolyKK4Kuantan merupakan program melukis mural anjuran Politeknik METrO Kuantan dengan kerjasama Politeknik Muadzam Shah dan sokongan daripada MPK dengan memberi tumpuan kepada aktiviti CSR yang memfokuskan kepada industri hospitaliti dan pelancongan.

“Ini merupakan program yang julung kali diadakan oleh MPK dengan IPT dengan harapan melalui program ini dan perubahan persekitaran yang ada dapat menjadi suatu tarikan masyarakat di daerah ini di samping dapat menceriakan suasana persekitaran,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamiza berkata pihak juga dalam perancangan untuk menambah lagi kawasan mural yang akan memfokuskan di kawasan zon budaya iaitu kawasan Jalan Mahkota dan Jalan Besar yang bertemakan tokoh tokoh dan pembesar Pahang.

Menurutnya, selain mampu menjadi tarikan pelancong, mural ini juga dapat memberi penerangan secara lukisan kepada pelancong yang datang supaya mereka dapat mengetahui keistimewaan Kuantan dan juga Pahang khususnya.

“Buat masa sekarang ini, kita telah pun buat iaitu di Food Street yang bertemakan Tokoh Pahlawan Pahang. Kita juga akan mengambil tema Diversiti Pahang seperti contoh yang dibuat oleh pelajar politeknik, mereka telah memaparkan lukisan yang ada kaitan dengan Pahang dan Kuantan seperti tenun, siput dan juga pokok palma yang merupakan pokok rasmi bandar Kuantan,” katanya.