X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Pesara tentera sembilan anak tinggal bawah jejambat dibantu

Keadaan pondok di bina pak cik Suria sebagai tempat berteduh buat isteri dan sembilan anaknya.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara tentera yang tinggal di bawah jejambat bersama isteri dan sembilan anaknya sejak lapan bulan lalu dibantu untuk mendapatkan kediaman selesa.

Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi kemas kini di Facebooknya berkata, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP menjejaki keluarga berkenaan pada 10 Jun lalu selepas menerima maklumat mengenai kesusahan keluarga tersebut.

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan yang dipanggil 'pak cik Suria' nekad tinggal di situ akibat masalah kewangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sungguhpun mendapat pencen setiap bulan namun pendapatan tersebut tidak mencukupi bagi menanggung isteri dan sembilan orang anaknya.

"Dia sebelum ini menambah pendapatan dengan bekerja di kedai makan dan mampu menyewa rumah. Namun sejak PKP, operasi perniagaan tersebut terjejas menyebabkan mereka terpaksa tumpang berteduh di bawah jejambat," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Menerusi kenyataan sama Baitulmal MAIWP berkata, masalah veteran tentera itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang akan membantu mencari rumah sesuai untuk keluarga tersebut.

"Baitulmal MAIWP pula bersedia membantu menanggung bayaran deposit dan sewa bulanan rumah tersebut.

"Pak cik Suria turut akan dibantu melalui bantuan sara hidup secara bulanan bagi meringankan beban ditanggungnya sementara waktu beliau tidak dapat bekerja," katanya.

Kisah kedaifan 'pak cik Suria' bersama keluarganya yang tinggal dalam pondok dibinanya sendiri dilaporkan sebuah portal berita pada Jumaat.

Bagaimanapun, Baitulmal menjelaskan keluarga berkenaan disantuni oleh agensi berkenaan bersama MJMM sebelum berita tersebut ditularkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!