X

Kindly register in order to view this article
!

Tatacara masuk ke Sarawak dari luar negara diteliti

JPBN Sarawak dan JKNS meneliti tatacara terbaharu kemasukan ke negeri itu dari luar negara bagi mereka yang telah menjalani tempoh kuarantin wajib ketika transit di Semenanjung Malaysia.
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sedang meneliti tatacara terbaharu kemasukan ke negeri itu dari luar negara bagi mereka yang telah menjalani tempoh kuarantin wajib ketika transit di Semenanjung Malaysia.

JPBN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berikutan beberapa pindaan yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) serta perubahan tatacara berkaitan kuarantin dan ujian saringan Covid-19 bagi pengembara dan krew anak kapal yang tiba melalui pintu masuk antarabangsa Malaysia.

Mengikut tatacara terkini KKM itu, semua pengembara dari luar negara yang tiba ke Malaysia diwajibkan menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dan kuarantin wajib selama 14 hari (21 hari jika pulang dari India, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh) sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke negeri lain serta mematuhi tatacara kemasukan yang ditetapkan negeri terbabit.

Kenyataan itu menyebut sehingga keputusan lanjut dibuat, semua pengembara dari luar negara yang ingin memasuki Sarawak harus mematuhi arahan terkini yang ditetapkan oleh KKM.

“Bagi yang telah melengkapkan tempoh kuarantin wajib serta ujian calitan pada hari ke-10 adalah negatif, mereka perlu memasuki Sarawak dalam tempoh 24 jam dan seterusnya akan dikuarantin sehingga ujian calitan ulangan di Sarawak adalah negatif,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan sama JKNS mengisytiharkan dua kluster baharu di Kuching iaitu Kluster Kampung Sungai Agas dan Kluster Jalan Sungai Tapang.

Kluster Kampung Sungai Agas merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan beberapa keluarga di sebuah penempatan di Jalan Matang dekat sini, berpunca daripada pergerakan rentas daerah dan kontak rapat setelah menghadiri upacara pengebumian saudara terdekat di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari Kuching.

“Sejumlah 30 individu telah disaring dan 16 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, lapan kes didapati negatif dan enam kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut JKNS.

Kluster Jalan Sungai Tapang pula merupakan satu kluster di tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah syarikat pembersihan swasta di Jalan Stapang dekat sini, berpunca daripada pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan pekerja dan ahli keluarga kes.

Menurut kenyataan itu, sejumlah 236 individu telah disaring dengan 31 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 199 kes didapati negatif dan enam kes masih menunggu keputusan makmal.

Sarawak hari ini mencatatkan 536 jangkitan baharu Covid-19 yang menjadikan keseluruhannya 58,570 kes setakat ini sementara kes kematian meningkat kepada 373 setelah tujuh kematian baharu dilaporkan.- Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!