X

Kindly register in order to view this article
!

Taib Mahmud kongsi pengalaman vaksinasi di Instagram

Abdul Taib berkongsi pengalaman peribadinya menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Instagram dan menasihatkan semua rakyat Sarawak yang layak untuk diimunisasi agar terhindar daripada penyakit itu. - Foto Instagram Abdul Taib Mahmud
A
A

KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkongsi pengalaman peribadinya menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Instagram dan menasihatkan semua rakyat Sarawak yang layak untuk diimunisasi agar terhindar daripada penyakit itu.

Dalam hantaran terbaharu selepas melengkapkan dos kedua pada 12 Jun, beliau menzahirkan rasa teruja sama seperti individu lain apabila menerima dos pertama pada 17 Mei bagi penerima fasa kedua selepas mendaftarkan nama di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Februari lalu.

“Jarum dilihat agak besar dan panjang tetapi saya tidak merasa apa-apa perbezaan dengan suntikan yang sering saya ambil. Saya dibawa ke kawasan pemerhatian yang pesakit perlu berehat dalam 30 minit sebelum dibenarkan keluar,” tulis Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh itu.

Abdul Taib, 85, juga berkongsi dua gambar ketika menerima suntikan vaksin oleh jururawat, sambil ditemani isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dalam hantaran itu.

Beliau bersyukur semuanya berjalan lancar dan tidak mengalami kesan sampingan yang besar daripada kedua-dua dos tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan yang terlibat memerangi Covid-19.

“Kita perlu menjaga Sarawak dengan baik dan hanya melalui vaksinasi, kita boleh memerangi pandemik Covid-19,” katanya lagi. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!