X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah Syariah beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi seperti biasa bermula 15 Jun lepas setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyenaraikan urusan kehakiman sebagai aktiviti yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagaimanapun berkata, pengoperasian dan prosedur operasi standard (SOP) setiap Mahkamah Syariah negeri bergantung kepada kerajaan negeri kerana Mahkamah Syariah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.

“Di peringkat kami, kami cuba menyelaraskan (SOP), namun bergantung kepada kerajaan negeri masing-masing untuk membenarkan pengoperasian dan SOP yang akan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun hingga 14 Jun, perkhidmatan kehakiman Syariah itu tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu. PKP 3.0 kini disambung sehingga 28 Jun.

Mohd Na’im berkata, sebelum ini ada prosiding mahkamah syariah yang dijalankan secara dalam talian namun bergantung kepada persetujuan semua pihak (mahkamah, hakim, peguam dan anak guam).

Pada 14 Jun lepas, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam kenyataannya meminta supaya MKN membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam syarie di seluruh negara beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Dalam kenyataan itu, Presiden PGSM, Musa Awang berkata, kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) tetapi turut meliputi keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi membabitkan harta, perebutan hak jagaan serta lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan lain-lain.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, pihaknya juga telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang berhubung tatacara prosiding dalam talian kepada Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil.

“Ini kerana buat masa ini, tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan prosiding secara dalam talian di Mahkamah Syariah. Namun, pendekatan telah diambil oleh hakim dan mahkamah untuk meneruskan kes secara dalam talian bergantung kepada persetujuan bersama semua pihak-pihak (hakim, peguam dan anak guam),” katanya.

Mohd Na’im berkata, sebagai agensi penyelaras Mahkamah Syariah di peringkat Persekutuan, pihaknya telah menyediakan kertas cadangan bagi mendapatkan pandangan hukum atau fatwa berkaitan prosiding dalam talian dan diharapkan fatwa berkenaan boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam masa terdekat.

“Dalam masa yang sama, beberapa Jawatankuasa Fatwa negeri seperti Johor, Perak dan Melaka telah pun mengeluarkan fatwa berkaitan keharusan untuk prosiding mahkamah syariah dibuat secara dalam talian dalam keadaan darurat seperti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pulau Pinang dan Melaka pula telah mewartakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perjalanan Mahkamah Syariah Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh) 2021 bagi membolehkan prosiding dalam talian ini diadakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berpesan kepada masyarakat supaya menyemak informasi yang jelas berkenaan operasi Mahkamah Syariah di negeri masing-masing sama ada boleh hadir secara jumpa terus atau melalui janji temu.

“Informasi boleh diperoleh melalui hebahan di laman web atau media sosial sesebuah Mahkamah Syariah. Jika memerlukan konsultasi berkaitan perundangan, boleh juga menghubungi peguam-peguam syarie atau talian hotline mahkamah untuk bantuan,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!