X

Kindly register in order to view this article
!

FDI susut 54.8 peratus pada 2020, terendah sejak 2009

Mohd Uzir
A
A

PELABURAN langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2020 susut 54.8 peratus untuk mencatatkan aliran masuk bersih bernilai RM14.6 bilion sekali gus menjadi yang terendah sejak 2009, berbanding RM32.4 bilion pada 2019.

Bagaimanapun sehingga akhir 2020, kedudukan FDI di negara ini merekodkan nilai lebih tinggi iaitu RM698.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan mengenai Statistik FDI di Malaysia dan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negara (DIA) 2020 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, aktiviti ekonomi di peringkat global terjejas dengan teruk sepanjang 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang seterusnya mempengaruhi prestasi pelaburan global.

Beliau berkata, berdasarkan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), FDI secara global merosot 42 peratus pada 2020 berbanding 2019, justeru FDI ke Malaysia juga mengalami situasi yang sama.

“Walaupun aliran FDI susut pada 2020, trend menurun ini tidak berterusan pada permulaan 2021,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik FDI dan DIA Suku Pertama 2021 yang diterbitkan pada Mei lepas, aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan RM9.1 bilion yang merupakan pelaburan tertinggi sejak Malaysia dilanda pandemik Covid-19.

Peningkatan dalam pelaburan ini disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, katanya.

Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan yang menguncup 60.5 peratus tahun ke tahun kepada RM6.9 bilion telah menyebabkan penurunan terbesar dalam FDI.

Beliau menekankan bagaimanapun kemerosotan itu bukanlah tanda yang tidak menguntungkan.

Sebaliknya, sektor ini kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran FDI dengan sumbangan 47.0 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutama dalam aktiviti kewangan, katanya.

Beliau berkata, sektor pembuatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar hasil daripada penerimaan ekuiti yang lebih tinggi terutama dalam produk elektrik dan elektronik, diikuti oleh sektor perlombongan dalam instrumen hutang.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelaburan Malaysia bersama lebih 190 negara, beliau berkata rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia pada 2020 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM18.3 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Thailand dan China yang berjumlah RM11.5 bilion.

Walaupun begitu, ia merupakan penurunan daripada aliran masuk bersih RM26.9 bilion pada tahun sebelumnya yang menyebabkan trend penurunan dalam prestasi pelaburan di rantau ini, katanya.

Mohd Uzir berkata, walaupun Malaysia mencatatkan aliran FDI lebih rendah pada 2020, FDI terkumpul telah meningkat sebanyak RM11.0 bilion, mencapai RM698.8 bilion dengan sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 51.6 peratus atau RM360.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong.

“Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 39.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutama dalam produk elektrik dan elektronik,” katanya.

Seperti prestasi FDI, DIA turut menguncup sebanyak 54 peratus untuk merekodkan RM11.9 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam sektor perlombongan dan perkhidmatan.

Ketua Perangkawan berkata, perkhidmatan kekal sebagai sektor terpenting bagi DIA, menyumbang 54.0 peratus daripada keseluruhan pelaburan, terutama dalam aktiviti kewangan dan telekomunikasi, diikuti sektor pembuatan, khususnya dalam produk makanan dan minuman; serta petroleum, kimia, getah dan plastik, terutama ke Kanada, United Kingdom dan Indonesia.

Bagi prestasi DIA pada suku pertama 2021, DIA Malaysia menunjukkan trend meningkat dengan merekodkan aliran keluar bersih RM7.8 bilion pada suku ini, terutama disumbangkan oleh aliran keluar ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi.

Beliau berkata,pelaburan terkumpul di luar negara juga meningkat kepada RM518.8 bilion, sebahagian besarnya ke Singapura dan Indonesia, manakala United Kingdom telah mengatasi Cayman Islands sebagai destinasi utama yang ketiga.

Analisis lanjut mengenai perolehan pendapatan bagi pelaburan dalam 2020, gangguan luar biasa ke atas ekonomi global telah menyebabkan pendapatan yang lebih rendah bagi kedua-dua FDI dan DIA berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Beliau berkata, walaupun syarikat FDI memperoleh pendapatan yang lebih tinggi daripada DIA, pulangan pelaburan (ROI) telah berkurang kepada RM0.06 daripada RM0.08 pada 2019 untuk setiap RM1.00 pelaburan.

Syarikat Malaysia pula hanya menerima RM0.04 bagi setiap RM1.00 ke atas pelaburan di luar negeri, katanya.

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI manakala pendapatan oleh DIA adalah daripada sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti kewangan.

Walaupun terdapat peningkatan evolusi pandemik yang dinamik, risiko penularan dan tindakan pembendungan diperbaharui akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan, namun ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada 2021 berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama yang lebih baik pada suku pertama, katanya.

Beliau berkata, meskipun penurunan pelaburan asing mungkin kelihatan membimbangkan, namun FDI di Malaysia mencatatkan aliran masuk lebih tinggi pada suku pertama 2021 dan FDI terkumpul juga kekal tinggi,

Ini menandakan peningkatan prestasi pelaburan pada 2021, katanya.

Beliau juga berkata, pemulihan pelaburan ekonomi pada 2021 dapat disokong dengan usaha menarik pelaburan berkualiti untuk merancakkan aliran masuk pelaburan bagi sektor bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi serta projek berinsentifkan modal demi kemajuan ekonomi lebih mampan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!