X

Kindly register in order to view this article
!

Kembalikan semula mandat rakyat, atasi kemelut politik

Wan Ahmad ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-266 bertajuk ‘PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Mengembalikan semula mandat rakyat merupakan jalan terbaik untuk mengatasi kemelut politik yang berlaku di negara ketika ini, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukanlah bermaksud kerajaan perlu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat, tetapi ia harus segera diadakan apabila keadaan negara sudah kembali stabil.

“Saya melihat satu saja penyelesaian untuk menangani kemelut politik di negara kita iaitu serah semula mandat kepada rakyat. Kalau rakyat setuju dengan segala program yang dilakukan kerajaan sekarang, maka rakyat akan memilih kembali kerajaan yang ada ini.

“Masing-masing akan menilai sewaktu pilihan raya nanti. Rakyat tidak akan menolak kerajaan kalau rakyat suka.

“Tetapi kalau rakyat merasakan sudah cukup dengan kerajaan yang ada, maka itu hak rakyat melalui medan pilihan raya,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-266 bertajuk ‘PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi manakala Edlyanna Hanie Abu Hamid bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihak SPR mempunyai banyak pengalaman sewaktu melaksanakan pilihan raya.

Justeru, katanya, pihak SPR boleh mengubah kaedah baharu dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

“Menjalankan pilihan raya adalah tugas SPR di dalam pusat mengundi. Saya tak nampak mereka akan berdepan dengan masalah. Yang menjadi rumit adalah tempoh kempen,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mesej yang disampaikan oleh pihak Istana Negara pada Rabu jelas menunjukkan bahawa Majlis Raja-Raja tidak mahu sekiranya tempoh darurat dilanjutkan.

Selain itu, katanya, Majlis Raja-Raja juga mahu Parlimen dibuka dengan segera supaya segala usaha untuk memulihkan negara berlaku secara inklusif, bukan sahaja melibatkan pihak kerajaan tetapi mereka di luar kerajaan.

“Jadi, perkara ini yang paling jelas sekali. Majlis Raja-Raja mahu wujud kembali kestabilan politik dan minta semua pihak meredakan kemelut politik ini.

“Saya juga nampak negara kita sudah tidak lagi memerlukan darurat. Sudah lebih lima bulan kita melihat pemerintahan darurat kesihatan dan setakat ini tiada apa-apa perubahan. Kes harian Covid-19 masih lagi membimbangkan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!