Baca al-Quran sebelum ulang kaji pelajaran

Amnan bersama kedua ibu bapanya di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu menunjukkan keputusan STAM yang diumumkan pada Khamis.
Amnan bersama kedua ibu bapanya di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu menunjukkan keputusan STAM yang diumumkan pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Membaca al-Quran sebelum mengulang kaji pelajaran merupakan antara kunci utama kejayaan Muhamad Amnan Hazimi Che Mat memperoleh gred 10 Mumtaz atau cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan pada Khamis.

Anak ketiga daripada lima beradik itu menggunakan masa di rumah sepenuhnya untuk mengulang kaji pelajaran terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhamad Amnan, 19, yang berasal dari Kampung Padang Enggang di sini berkata, dia akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 15 minit selepas solat Maghrib pada setiap hari untuk membaca al-Quran sebelum menelaah mata pelajaran lain.

"Saya mempraktikkan amalan membaca al-Quran ini supaya saya dapat mengingati dengan mudah semua mata pelajaran yang saya pelajari.

"Kebetulan pula ada mata pelajaran yang memerlukan saya membaca al-Quran dan sebagainya, maka saya akan sekalikan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Pelajar Maahad Muhammadi Lelaki di sini itu berkata, walaupun dia tidak tinggal di asrama bersama rakan-rakan, namun dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakan dalam pelajaran.

"Ada yang buat panggilan video dan ada yang menghantar pesanan WhatsApp untuk bertanya macam mana nak jawab soalan serta memahami sesuatu subjek itu.

"Saya bantu sebaik mungkin, dalam masa sama mengasah ingatan saya. Ini adalah cara terbaik untuk kita mengingati apa yang kita belajar. Dalam masa sama kita boleh bantu orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amnan yang suka bermain gitar berkata, dia sering mengingatkan dirinya mengenai tarikh peperiksaan tersebut bagi memastikannya tidak lalai dengan perkara tidak berfaedah.

"Saya sering ingatkan diri saya, peperiksaan sudah dekat, jangan main-main. Bersabar dulu, lepas ini baru boleh rehat. Itulah kata-kata yang memangkin semangat saya setiap hari.

"Waktu rehat saya akan rehat sepenuhnya tanpa gangguan sebab saya tidak mahu masa terbuang begitu saja. Apa yang penting, fokus kepada apa yang kita nak," katanya.

Amnan yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, dia berharap cita-citanya untuk menjadi peguam akan tercapai bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan guaman.