Kebakaran hutan di Kampung Balai Besar merebak sehingga 23 hektar

Pihak bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan kawasan tengah hutan di Kampung Balai Besar, Dungun yang berlaku sejak Isnin. - Foto Ihsan Bomba
Pihak bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan kawasan tengah hutan di Kampung Balai Besar, Dungun yang berlaku sejak Isnin. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

DUNGUN - Kebakaran hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar, di sini yang berlaku sejak Isnin lalu kini merebak sehingga 23 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Sharizal Shamsudin berkata, setakat ini bomba berjaya memadamkan 22.3 hektar kebakaran yang membabitkan kawasan tengah hutan itu.

Katanya, berlaku pertambahan tiga hektar kawasan terbakar malam Rabu disebabkan bomba mengalami kesukaran untuk memadam kebakaran pada waktu malam kerana tiada laluan dan suasana gelap.

"Sehingga petang ini, kita berjaya mengawal kebakaran tersebut di mana masih terdapat 0.7 hektar kawasan yang terbakar," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, Sharizal berkata, kebakaran hutan tanah gambut itu dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Sehingga petang Rabu lalu, kebakaran hutan tanah gambut berkenaan merebak kepada kira-kira keluasan 20 hektar.

Menurut bomba, cuaca panas dan keadaan berangin menyebabkan kebakaran merebak lebih cepat.

"Keadaan kebakaran yang masih terdapat pada bahagian bawah dari permukaan tanah menyebabkan usaha pemadaman lebih sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 30 angota termasuk pegawai dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Dungun, BBP Paka, BBP Al-Muktafi Billah Shah, BBP Chukai, BBP Cheneh, BBP Kijal, BBP Kerteh, dan BBP Kemaman dikerahkan bagi usaha pemadaman kebakaran terbabit.

Selain itu, pihak bomba turut menerima bantuan dari Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

ARTIKEL BERKAITAN: Lima hektar hutan tanah gambut terbakar