Tiada lagi pergerakan tanah dikesan di Kampung Juang

Pemantauan dilakukan anggota bomba di Kampung Juang, lokasi yang dilaporkan berlaku runtuhan tanah.
Pemantauan dilakukan anggota bomba di Kampung Juang, lokasi yang dilaporkan berlaku runtuhan tanah.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan tiada lagi pergerakan tanah dikesan di kawasan runtuhan di perkampungan orang asli Kampung Juang, Simpang Pulai pada Rabu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keadaan di kawasan itu setakat ini adalah terkawal dengan pemantauan rapi dilakukan pihak berkuasa.

Menurutnya, hanya dua rumah di kampung berkenaan mempunyai risiko tinggi terkena kesan runtuhan, manakala kawasan lain termasuk jalan utama selamat.

"Tanah runtuh hanya melibatkan bahagian belakang rumah tersebut, tiada kawasan pemantauan yang musnah, malah tidak ada jalan yang tertimbus.

"Walaupun masih ada hujan di lokasi kejadian, kita dapati pergerakan tanah tidak lagi berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, lima penduduk kampung itu diminta berpindah bagi tujuan keselamatan selepas berlaku kejadian tanah runtuh sekitar jam 7.24 petang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada keadaan struktur tanah kurang stabil akibat hujan lebat.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan keluarga terlibat.

Kesan runtuhan hanya melibatkan bahagian belakang rumah penduduk, tiada kawasan pemantauan yang musnah, malah tidak ada jalan yang tertimbus.
Kesan runtuhan hanya melibatkan bahagian belakang rumah penduduk, tiada kawasan pemantauan yang musnah, malah tidak ada jalan yang tertimbus.

"Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa, begitupun pemantauan semasa ke semasa masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Shaharudin Tuan Ali berkata, pemantauan rapi dilakukan anggotanya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita lakukan pemantauan dari semalam. Bimbang sekiranya masih hujan, kemungkinan berlaku lagi runtuhan tanah atau pokok tumbang di bahagian atas," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di 11 negeri termasuk Perak hari ini.

Kawasan terlibat di Perak meliputi Larut; Matang; Selama; Kuala Kangsar Manjung; Kinta; Perak Tengah; Kampar; Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima penduduk Orang Asli berpindah akibat tanah runtuh

Amaran ribut petir, hujan lebat di 11 negeri