Lima hektar hutan tanah gambut terbakar

Anggota bomba berusaha memadamkan kawasan hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar, Dungun yang terbakar sejak Isnin.
Anggota bomba berusaha memadamkan kawasan hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar, Dungun yang terbakar sejak Isnin.
A
A
A

DUNGUN - Kebakaran kawasan hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar di sini yang berlaku sejak petang Isnin kini merebak sehingga seluas lima hektar.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, sebanyak empat hektar kawasan sudah musnah akibat kebakaran ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada Isnin sejurus menerima panggilan kecemasan jam 3.47 petang.

Bagaimanapun katanya, keluasan kawasan terbakar bertambah kepada lima hektar pada pagi Selasa.

"Kita mengesan masih terdapat sisa-sisa bara api pada bahagian dalam tanah yang berisiko untuk kembali terbakar namun kita berusaha mengawal kebakaran itu supaya tidak merebak ke kawasan penempatan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

"Kita khuatir, tahap kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar terjejas sekiranya kebakaran hutan tanah gambut ini berterusan dalam tempoh lama," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu katanya, pihak bomba mengerahkan seramai 31 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Paka dan BBP Al-Muktafi Billah Shah ke lokasi kejadian bagi membantu usaha pemadaman api daripada terus merebak ke kawasan lain.

"Operasi pemadaman diteruskan tanpa henti sejak petang semalam (Isnin) sehingga pagi ini bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan lebih luas sekali gus menyebabkan tempoh masa yang lama untuk dipadamkan," katanya.

Dalam pada itu, Azman meminta orang ramai supaya tidak melakukan pelupusan sampah secara haram bagi mengelak berlakunya kebakaran hutan pada skala besar.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan namun berdasarkan tinjauan di lokasi, kita menemui beberapa tempat pelupusan sampah dan pembakaran terbuka yang dipercayai dilakukan secara haram," katanya.