Kerajaan peruntuk RM80 juta untuk Hospital Pengajar Universiti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan RM80 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan di tiga buah Hospital Pengajar Universiti (HPU) untuk meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, peruntukan tambahan tersebut dapat memperkasakan peranan HPU yang sedia bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2020.

Menurutnya, sejak Februari 2020 sehingga 31 Mei ini, lima buah HPU terlibat secara langsung dalam merawat pesakit Covid-19.

“Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (HUiTM) Sungai Buloh.

“Semua HPU ini berstatus hospital hibrid yang mana pesakit-pesakit bukan Covid-19 masih terus mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di sini,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Dalam pada itu, KPT juga mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) bagi membantu kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Tambahnya, terdapat 18 PPV IPT beroperasi di seluruh negara dan empat akan dibuka bermula 21 Jun ini.

“Sebanyak 19 lagi PPV IPT dalam perancangan untuk dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPV IPT sebanyak 41 buah.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 11 Jun lalu, seramai 134,932 orang telah menerima vaksin di PPV IPT,” ujar kenyataan tersebut.

Jelasnya, peruntukan yang disediakan kepada KPT ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha berterusan mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam di negara.

“KPT juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak Covid-19 di negara ini.

“KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan lengkung jangkitan Covid-19,” katanya.