10,229 OKU terima suntikan dos pertama vaksin Covid-19

Rina (kiri) ketika sesi lawatan dan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU secara pandu lalu di Sime Darby Plantation Berhad, Ara Damansara di sini pada Rabu.
Rina (kiri) ketika sesi lawatan dan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU secara pandu lalu di Sime Darby Plantation Berhad, Ara Damansara di sini pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Hampir 10,229 daripada 240,991 golongan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di seluruh negara.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, angka tersebut masih rendah dan ia perlu diperluaskan lagi dalam usaha membantu mendaftarkan golongan berkenaan.

“Jadi, kita ambil inisiatif memberi vaksin secara pandu lalu kepada golongan OKU bagi meningkatkan jumlah penerima.

“Program ini dijangka berlangsung selama lima bulan bermula hari ini (Rabu) dan kita anggarkan jumlah penerimaan vaksin kepada golongan OKU di sini sebanyak 13,500,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU secara pandu lalu di Sime Darby Plantation Berhad, Ara Damansara di sini pada Rabu.

Beliau diiringi Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Mengulas lanjut, Rina berkata, bagi mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada golongan OKU, pihaknya bercadang untuk memperluaskan lagi pemberian vaksin secara pandu lalu di seluruh negara.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan PPV secara bergerak di institusi-institusi OKU yang ada di seluruh negara dan ini dalam perbincangan. Justeru, saya menyeru semua NGO lain untuk turut serta dalam membantu kerajaan memerangi Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Rina turut menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

“Kita lihat OKU juga ada yang tergolong dalam lingkungan umur berkenaan,” katanya.

PPV untuk komuniti OKU secara pandu lalu merupakan program pertama diadakan di negara, hasil kerjasama pihak OKU Sentral dan Sime Darby Plantation Berhad.

Pada Rabu, seramai 80 orang menerima vaksin Covid-19, 60 daripadanya terdiri daripada OKU.

Pusat tersebut akan mengagihkan 200 vaksin setiap hari dan akan menerima sekurang-kurangnya 12 buah kereta dalam masa satu jam.

Pendaftaran golongan OKU tersebut juga melibatkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan terbuka kepada mereka yang mengalami kecacatan fizikal, kecacatan mental, masalah pembelajaran, autism, pekak dan cacat penglihatan.