X

Kindly register in order to view this article
!

IWK tumpu usaha pulihkan negara

IWK tekad bersama kerajaan memulihkan negara daripada kemelut pandemik Covid-19.
A
A

SHAH ALAM - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menyambut baik Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa dan akan memberi tumpuan berjuang bersama-sama mengeluarkan negara daripada kemelut pandemik Covid-19.

Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi berkata, IWK tekad memberikan perkhidmatan pembetungan yang cekap kepada lebih daripada 25 juta penduduk di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan demi memastikan kelestarian alam sekitar dan keselesaan rakyat terpelihara.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, IWK memastikan kesemua lebih daripada 7,000 loji rawatan kumbahan awam di bawah selenggaraannya dan 20,000 kilometer (km) rangkaian paip pembetungan, terus beroperasi dengan baik.

“Kapasiti pekerja dikurangkan kepada 30 peratus dengan jadual kerja penggiliran bagi yang bekerja di pejabat dan di rumah, operasi dan penyelenggaraan loji serta aduan pelanggan yang diterima, terus kami laksanakan dengan cekap dan mencapai penanda aras operasi yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Bagi pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di loji, mereka perlu bekerja seperti biasa kerana operasi loji terus bergerak tanpa henti tanpa mengira apa juga kekangan dan cabaran yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Johnie berkata, selaras dengan pendekatan pemulihan secara berperingkat, IWK turut memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi harian syarikat diperketatkan khususnya kepada kakitangan dan pelanggannya.

“Malah, syarikat juga telah memohon untuk kesemua 3,500 kakitangan IWK yang telah bersetuju dan berdaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, Pelan Pemulihan Negara yang melalui empat peringkat pemulihan amat membantu dalam perancangan perniagaan syarikat khususnya apabila aktiviti ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.

“Malah, pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat ini dapat memastikan pelanggan IWK daripada sektor komersial dibuka dan kami akan pastikan kakitangan IWK bersedia berkhidmat memastikan sistem kumbahan di premis komersial tidak terganggu dan berjalan seperti biasa,” katanya.

Narendran berkata, IWK juga bersama membantu negara dalam usaha pemulihan ini dengan memastikan aspirasi pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan terutama dalam usaha pemuliharaan ekosistem alam sekitar.

“Beberapa inisiatif telah dijalankan dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi negara dapat dijalankan termasuklah pembangunan perniagaan Air Pulih Guna bagi tujuan industri bukan makanan iaitu dengan membolehkan pengilang mendapat sumber air alternatif,” katanya.

Narendran berkata, pembangunan perniagaan bukan teras IWK seperti pembinaan menara telekomunikasi di loji-loji rawatan kumbahan serta pembinaan panel solar, serta projek bio-pepejal dan bio-gas dapat menghasilkan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!