X

Kindly register in order to view this article
!

Enam hospital di Terengganu beri rawatan percuma wad kelas tiga

Dr Alias
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma kepada rakyat negeri ini bermula bulan depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kemudahan itu dapat dinikmati di semua hospital kerajaan yang ada di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta setahun bagi menunaikan janji manifesto yang dibuat kepada rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.

“Manfaat ini dapat dinikmati rakyat Terengganu yang memegang kad pengenalan nombor 11, 45 dan 46. Ia tidak terpakai bagi pasangan dan tanggungan selain nombor pengenalan ini, namun ia akan diberi pertimbangan dalam fasa penambahbaikan seterusnya.

“Insentif ini merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan sepanjang pesakit dirawat di hospital,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, di sini pada Rabu.

Bagaimanapun kata Alias, kerajaan tidak akan menanggung kos rawatan melibatkan implan dan peralatan perubatan, pesakit yang berpindah dari wad lain ke wad kelas tiga dan caj yang telah mendapat pelepasan atau subsidi daripada kerajaan.

Katanya, sebanyak enam buah hospital terlibat dalam pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma bermula Julai ini yang membabitkan 1,390 katil.

“Ia adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kemaman, Hospital Dungun, Hospital Besut, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Setiu.

“Program ini diharap dapat meringankan beban rakyat khususnya berpendapatan rendah dan inisiatif ini akan diteruskan dari tahun ke tahun,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!