X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

AMK dakwa Pelan Pemulihan Negara hanya wayang

Akmal Nasrullah - Foto FB Akmal Nasir
A
A

JOHOR BAHRU - Pelan pemulihan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa disifatkan sebagai ‘wayang’ kerana baharu diumumkan walaupun hampir setengah tahun negara sudah melaksanakan darurat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan lewat oleh kerajaan itu juga mengesahkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Malah katanya, perutusan khas itu dilihat hambar dan sekadar mengulangi pendekatan sama tetapi mengharapkan keputusan berbeza.

“Ia tidak lebih daripada sekadar mengulangi skrip atau SOP (prosedur operasi standard) bagi fasa-fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebagainya serta culas terhadap banyak perkara yang sepatutnya lebih dititikberatkan.

“Pendekatan sehala dalam perutusan khas ini sekali lagi menafikan penglibatan ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan dasar tersebut manakala pengamal media dinafikan hak untuk bertanya soalan.

“Pemulihan negara daripada pandemik Covid-19 perlu sekurang-kurangnya menjawab persoalan seperti apakah perancangan ekonomi negara terutama bagi membina semula keyakinan pelabur serta menarik pelaburan?

“Apakah tindakan kerajaan apabila kluster tempat kerja terus meningkat walaupun Sekatan Pergerakan Penuh ala PN sudah lebih dua minggu dilaksanakan. Apakah strategi dalam mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan?

“Mengapa sektor pendidikan tidak disentuh terutama bagi memperkemaskan kaedah pelaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) serta perancangan ke hadapan untuk membuka kembali sekolah dan institusi pengajian dengan lebih teratur? Apakah kerangka kerja dalam menjayakan pembentangan pelan ini di samping mencapai imuniti kelompok melalui suntikan vaksin?,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan, ia berbeza dengan pembentangan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui agenda ‘Memimpin Negara Pasca Covid-19 dan Melonjak Semula Ekonomi Negara’ sehari sebelumnya yang lebih terperinci dan menyentuh aspek yang perlu dititikberatkan.

Malah, inisiatif itu merupakan lanjutan daripada Program Pasca Covid-19 yang telah dilancarkan pada 26 Mei 2021.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas telah menggariskan beberapa aspek penting dalam pembentangan beliau yang meletakkan sasaran praktikal dan menyeluruh yang turut melibatkan soal kesihatan, pendidikan, pekerjaan, industri, ekonomi negara bagi menarik pelaburan, ekonomi gig, politik sihat serta mengurangkan kesenjangan masyarakat.

“Asas bagi kerangka besar usaha ini mesti berpandukan data, sains, teknologi, serta penekanan kepada maqasid syariah sebagai prinsip pentadbiran.

“Rakyat sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan PN yang bukan sahaja dipertikaikan keabsahan, tetapi juga kelemahan kepimpinan yang begitu ketara. Bagaimana rakyat ingin percaya Parlimen akan kembali bersidang menjelang September sedangkan pelbagai janji sebelum ini masih berdolak-dalik,” tegasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!